KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berstatus tahan kerja menjadi dalang pengedaran dadah bernilai RM21.3 juta di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang suspek merupakan pegawai penguatkuasa dan memiliki satu rekod jenayah lampau.
Katanya, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan kesemua ahli sindiket yang terlibat berasal daripada negeri Kelantan.
“Suspek dikenalpasti sebagai seorang anggota polis yang berada dalam status tahan kerja dari tahun 2024. Dia memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Hasil operasi ini, seramai lima lelaki tempatan ditahan berumur 39 hingga 46 tahun di sekitar kawasan Cheras,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.
Menurut Hussein, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan rumah teres sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan sebelum diedarkan.
Jelasnya, nilai anggaran keseluruhan rampasan dalam operasi ini adalah bernilai RM21.3 juta.
“Mereka menjadikan rumah teres sebagai lokasi penyimpanan sebelum mengedarkannya untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Sebanyak 410 bungkus plastik yang mengandungi dadah jenis Methamphetamine dengan berat 435.3 kilogram telah berjaya dirampas dalam operasi ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










