PETALING JAYA: Pas menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberikan penjelasan berhubung dokumen tular berkaitan dakwaan pencerobohan tanah kerajaan yang dikatakan di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan negeri perlu menjawab dua persoalan utama secara terbuka termasuk sama ada dokumen berkenaan adalah tulen dan benar-benar dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan agensi kerajaan berkaitan.
Sekiranya dokumen itu palsu, katanya, kerajaan negeri hendaklah menyatakan perkara itu dengan tegas dan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana penggunaan kepala surat, nombor rujukan, tandatangan, cop jabatan dan nama pegawai kerajaan secara palsu adalah perkara serius.
“Kedua, sekiranya dokumen-dokumen itu tulen, apakah hasil siasatan yang diarahkan pada Julai 2022?
“Rakyat berhak mengetahui sama ada satu jawatankuasa atau pasukan siasatan telah ditubuhkan, pemeriksaan tapak dilakukan dan status pemilikan serta pendudukan tanah berkenaan dikenal pasti sebaiknya,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Sebelum ini, sebuah dokumen tular di media sosial bertarikh 18 Julai 2022 yang didakwa dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Pegawai Daerah Seremban bertajuk Aduan Mengenai Pencerobohan Tanah Kerajaan Yang Semakin Berleluasa.
Surat itu memaklumkan Pejabat Menteri Besar telah menerima aduan mengenai dakwaan pencerobohan tanah kerajaan yang dipercayai berlaku di bawah pimpinan ADUN dari parti DAP.
Menurut surat berkenaan, aduan itu dipanjangkan kepada Pegawai Daerah Seremban untuk perhatian dan tindakan lanjut mengikut minit arahan Menteri Besar.
Selain itu, terdapat salinan aduan mengenai dakwaan pencerobohan tanah kerajaan di beberapa lokasi sekitar Seremban termasuk Kampung Pasir, Kampung Ismail, Rasah dan Rahang serta dakwaan lain termasuk penyalahgunaan pengaruh politik, rasuah dan penerimaan bekalan elektrik serta air di kawasan didakwa diceroboh.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, masyarakat perlu pengesahan sekiranya terdapat struktur penempatan dibina tanpa kebenaran, bekalan air dan elektrik diperoleh melalui prosedur sah serta sama ada pihak berkuasa atau wakil rakyat telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Beliau turut mempersoal sama ada terdapat aduan mengenai ‘wang settlement’ atau unsur rasuah telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain pelaksanaan tindakan penguatkuasaan, pendakwaan atau pengosongan tanah kerajaan telah dijalankan.
“Rakyat berhak tahu jika laporan siasatan yang diarahkan itu telah disiapkan serta dikemukakan kepada Menteri Besar dan pengesahan penglibatan wakil rakyat DAP? Jika ya, apakah tindakan yang telah diambil?
“Jika siasatan mendapati dakwaan tersebut tidak berasas, hasil itu juga wajar diumumkan bagi membersihkan nama individu dan institusi yang dikaitkan.
“Sebaliknya, jika terdapat asas kepada mana-mana dakwaan, tindakan undang-undang perlu diambil tanpa mengira kedudukan, jawatan atau hubungan politik pihak yang terlibat,” katanya.
Menurut Ahmad Fadhli, kerajaan negeri tidak wajar berdiam diri atau menyifatkan penyebaran dokumen berkenaan sebagai retorik permainan politik.
Katanya, cara terbaik menghentikan spekulasi isu tersebut ialah melalui pengesahan dokumen dan penerbitan hasil siasatan yang tertakluk kepada keperluan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Menteri Besar Negeri Sembilan wajib memberikan penjelasan yang jelas, lengkap dan bertanggungjawab. Rakyat menuntut dokumen itu disahkan, arahan siasatan dijelaskan dan hasilnya diumumkan.
“Ketelusan dalam perkara ini penting untuk mempertahankan integriti pentadbiran negeri, melindungi aset kerajaan dan memastikan tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang,” katanya. – UTUSAN









