PETALING JAYA: Sesebuah parti perlu memperkukuhkan jentera dan sokongan, bukan hanya bergantung kepada pihak lain atau kelemahan musuh.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal sabotaj kerana Pas sejak awal telah memberikan arahan jelas kepada seluruh jentera memberi sokongan penuh kepada calon Perikatan Nasional (PN) di 33 kerusi yang ditandingi.
Katanya, sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pula hanya diberikan di kawasan yang tidak ditandingi PN.
“Pakatan Harapan juga kalah teruk di Johor, apakah ini juga sabotaj sesama mereka? Apa yang penting mengkaji kelemahan sendiri sebelum menuding jari kepada pihak lain.
“Pas akan mengkaji punca kegagalan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi sebelum ini dan peralihan sokongan anak muda dalam PRN Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan Pas didakwa punca PN gagal di Johor kerana wujud unsur sabotaj termasuk kegagalan sebahagian parti komponen memberikan sokongan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Johor.
Sumber dalaman Bersatu dilaporkan mendakwa, tindakan beberapa pemimpin Pas yang mengeluarkan kenyataan enggan membantu calon Bersatu dan menggesa pengundi menyokong parti lain di kawasan tertentu telah menjejaskan peluang kemenangan PN.
Tuan Ibrahim berkata, PN mengakui terdapat faktor dalaman selain beberapa faktor di luar kawalan yang mempengaruhi prestasi gabungan itu pada PRN Johor.
Bagaimanapun, beliau yakin sokongan rakyat terhadap Pas dan PN akan kembali meningkat menjelang PRN Negeri Sembilan serta pilihan raya negeri lain selepas ini.
“Ada faktor diluar kawalan dan faktor dalaman PN menyebabkan PN gagal di Johor.
“Yang penting sekarang ialah kita memperbaiki kelemahan dan memperkukuhkan jentera. Kami yakin sokongan pengundi kepada Pas dan PN akan bertambah baik pada pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN










