Namaku Bujang. Aku seekor Orang Utan Borneo, spesies Orang Utan terbesar yang masih mendiami hutan-hutan tua di pulau yang pernah menjadi rumah leluhurku. Tubuhku besar, lenganku panjang umpama dahan yang enggan putus dan kedua-dua pipiku terhampar pelapik muka yang tebal.
Namaku ini diberikan oleh manusia ketika aku tiba di Zoo Los Angeles, Grifith Park bertahun-tahun dahulu. Mereka gelar kota ini City of Angels. Atau Kota Malaikat. Datang dari mana malaikat pun aku tidak tahu. Sebab aku perhatikan perangai mereka tidaklah sesuci mana.
Oh! Aku perasan juga yang sejak dua hari kebelakangan ini, sesuatu terasa berbeza. Lorong di hadapan kandangku dipenuhi manusia seperti semut menghurung titisan madu. Mereka datang tanpa putus-putus. Dari pagi sehingga matahari mula condong ke barat, jumlah mereka tidak pernah berkurang.
Aku duduk di atas platform kayu yang dibina manusia untuk menyerupai dahan pokok, memerhati wajah-wajah asing yang silih berganti. Ada yang berkulit putih seperti awan musim sejuk, ada yang gelap seperti tanah selepas hujan, ada yang keemasan seperti batang pokok yang disimbah cahaya petang.
Bahasa yang mereka tuturkan juga berbeza. Ada yang kedengaran seperti air mengalir di celah batu, ada yang berdesing laju seperti angin menyusup di antara daun-daun hutan. Oh! Tiba-tiba aku rindu akan hutan kanopi asal-usulku jauh di Kepulauan Borneo sana.
Perkara yang paling menarik perhatian aku adalah pakaian mereka. Ramai yang mengenakan jersi bola sepak berwarna-warni. Merah, biru, hijau, kuning, putih. Di belakang baju mereka tertera nombor dan nama yang tidak aku kenali. Ada yang membawa bendera. Ada yang menyanyi. Ada yang ketawa sehingga kepala mereka terdongak ke langit. Sesekali kedengaran sorakan yang begitu kuat sehingga beberapa ekor burung di kawasan berhampiran terbang meninggalkan dahan.
Pada mulanya aku menyangka mereka datang untuk melihat aku. Lagipun, bukankah itulah tujuan zoo diwujudkan? Manusia membayar untuk melihat makhluk lain hidup di dalam versi kecil dunia yang pernah menjadi miliknya.
Namun selepas dua hari memerhati, aku mula menyedari aku hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan mereka. Para manusia yang datang lebih sibuk berbual sesama sendiri, mengambil gambar dan menunjuk-nunjuk sesuatu pada skrin telefon.
Daripada cebisan perbualan yang aku dengar, aku akhirnya memahami sedikit keadaan.
“Perlawanan malam ni dekat Stadium Rose Bowl.”
“Penyokong Brazil ramai betul!.”
“Kita kena pergi awal.”
“Kau dah dapat beli tiket?”
Oh! Jadi, itulah sebabnya. Manusia dari seluruh dunia rupanya berkumpul di bandar ini kerana bola sepak. Aku tidak pernah memahami permainan itu. Pada pandangan aku, ia hanyalah sekumpulan manusia dewasa yang mengejar sebiji bola di atas padang.
Tetapi mungkin aku tidak adil. Mungkin permainan itu mempunyai makna yang lebih besar buat mereka. Sama seperti sebatang pokok besar di tengah hutan mempunyai makna yang tidak dapat difahami oleh mereka yang hanya melihatnya sebagai kayu.
Namun ada satu perkara yang selalu membuatkan aku tersenyum sendiri. Jika manusia melihat aku bergayut dari satu tali ke satu tali lain, mereka akan berkata, itu naluri seekor haiwan. Jika aku menjerit kuat kerana berebut buah dengan rakan sekandang, mereka akan menggelarnya tingkah laku primitif.
Tetapi apabila puluhan ribu manusia menjerit serentak kerana sebiji bola memasuki gawang, itu dipanggil tamadun. Aku rasa definisi mereka sangat menarik. Mungkin juga sangat lucu.
Kalau kalian melihat aku sekarang, mungkin kalian menyangka aku sedang seronok menerima kunjungan manusia yang begitu ramai. Mungkin kalian membayangkan aku terkinja-kinja gembira di dalam kandang ini.
Ah, salah! Aku tidak suka hidup dalam penjara yang menyamar sebagai hutan. Memang ada pokok. Memang ada batu. Memang ada air terjun buatan. Tetapi semua itu tidak lebih daripada lukisan yang cuba berpura-pura menjadi dunia sebenar.
Aku dilahirkan daripada keturunan yang pernah mengenali keluasan langit dan kebebasan hutan hujan. Sekarang, keluasan dunia aku berakhir pada pagar kaca dan parit konkrit. Lebih menjengkelkan, manusia sering menganggap aku sebagai tong sampah yang berbulu jingga.
Setiap hari pasti ada yang membaling sesuatu ke dalam kandang. Kadangkala kulit pisang. Kadangkala bekas makanan. Kadangkala botol plastik. Entah mengapa mereka beranggapan bahawa jika aku seekor Orang Utan, maka aku pasti akan memakan apa sahaja yang mereka campakkan.
Logik itu sama seperti menganggap semua manusia suka makan kertas hanya kerana mereka membaca buku. Aku masih ingat seorang budak lelaki yang membaling sebungkus kerepek ke arahku minggu lalu. Apabila aku tidak menyentuhnya, dia kelihatan kecewa. Seolah-olah aku gagal memenuhi watak yang ditulisnya dalam kepala.
Nasib baik ada Yusuf. Buat pengetahuan kalian, Yusuf ialah salah seorang penjaga zoo yang paling aku kenali. Lelaki berketurunan Arab itu sering melalui kandangku setiap pagi dengan baldi makanan dan wajah yang sentiasa kelihatan sedikit letih. Mungkin kerana dia menghabiskan lebih banyak masa mengurus manusia berbanding haiwan.
“Jangan buang apa-apa ke dalam kandang!”
Itu ayat yang paling kerap keluar daripada mulutnya. Hari ini sahaja aku mendengarnya lebih sepuluh kali. Namun manusia mempunyai bakat luar biasa untuk mendengar tanpa benar-benar mendengar. Mereka mengangguk tanda faham, tersenyum sopan, kemudian lima minit kemudian sehelai tisu atau kulit buah melayang masuk ke dalam kandang aku.
Suatu petang, selepas Yusuf mengutip beberapa sampah yang dilemparkan pengunjung, Yusuf menggeleng perlahan.
“Aku kerja menjaga haiwan,” katanya sendirian.
“Tapi kadang-kadang rasa macam aku yang kena menjaga manusia.”
Kemudian aku memandangnya dari atas platform kayu. Dia ketawa kecil. Aku pula terus memerhati kumpulan manusia yang berjalan di luar pagar. Dan untuk kesekian kalinya, aku tertanya-tanya sesuatu.
“Siapa sebenarnya sedang dipamerkan di zoo ini?”
Aku yang berada di dalam kandang. Atau mereka yang bebas berjalan di luar sana?
Ketika aku sedang melayan pertanyaan itu, seekor merpati putih yang sering berlegar-legar di kawasan ini hinggap di atas pagar berhampiran. Burung itu bukan penghuni rasmi zoo. Namun dia mengenali setiap sudut tempat ini lebih baik daripada kebanyakan manusia.
Sering kali aku melihatnya menyelinap ke kawasan petting zoo untuk mencuri makanan haiwan sebelum kembali bertenggek di kandangku. Agaknya dia berasa dia memiliki seluruh kawasan ini.
“Ramai betul manusia hari ini,” katanya sambil mematuk sesuatu yang dijumpainya di celah pagar.
“Sejak dua hari lepas,” balasku.
“Mereka datang macam semut jumpa gula.”
Merpati itu memandang ke arah petting zoo yang terletak tidak jauh dari situ. Dari tempat kami, kelihatan sekumpulan kanak-kanak memberi makan kepada biri-biri dan beberapa ekor alpaka.
Haiwan-haiwan itu berhimpit-himpit di tepi pagar sambil menunggu tangan manusia menghulurkan pelet makanan.
“Aku perasan sesuatu,” kata merpati itu.
“Apa?”
“Biri-biri itu semakin gemuk.”
Aku mengalihkan pandangan ke arah haiwan-haiwan itu. Benar juga. Perut mereka semakin membulat dan langkah mereka tidak lagi seaktif dahulu.
“Bukan setakat gemuk,” kataku.
“Mereka juga semakin malas.”
Aku masih ingat beberapa tahun lalu, biri-biri itu masih gemar memanjat bongkah batu yang disediakan di dalam kawasan mereka. Kini kebanyakan masa mereka hanya berkumpul berhampiran pagar, menunggu makanan datang sendiri ke mulut. Mereka tidak perlu mencari apa-apa. Tidak perlu meneroka.
Tidak perlu berusaha. Manusia akan datang setiap hari membawa makanan sambil tersenyum gembira melihat mereka mengunyah.
Kadangkala aku tertanya-tanya sama ada kasih sayang manusia boleh menjadi satu bentuk ketagihan. Sekalian manusia memberi makan kerana berasa seronok. Haiwan pula menerima kerana tidak perlu bersusah payah. Lama-kelamaan, kedua-duanya menjadi terbiasa. Dan mereka yang memberi, tidak mahu berhenti memberi, manakala yang menerima semakin lupa cara untuk hidup tanpa menerima.
Aku memandang seekor alpaka yang berdiri di tepi pagar dengan wajah kosong sambil menunggu pengunjung berikutnya tiba. Haiwan itu mengingatkan aku kepada sungai yang terlalu lama bergantung kepada hujan. Apabila air sentiasa turun dari langit, sungai akan lupa bagaimana rasanya menempuh musim kemarau.
“Apa jadi kalau suatu hari nanti manusia hilang?” Tanyaku.
Merpati itu memiringkan kepalanya.
“Hilang?”
“Lenyap. Tiada lagi di muka bumi ini.”
Dia terdiam seketika. Aku meneruskan fikiranku sendiri. Bayangkan jika suatu pagi seluruh manusia menghilang. Tiada lagi penjaga zoo. Tiada lagi lori penghantar makanan. Tiada lagi kanak-kanak yang datang membawa pelet makanan dan lobak merah. Tiada lagi tangan-tangan yang selama ini menjadi sumber segala-galanya.
Aku membayangkan kambing-kambing di petting zoo itu masih berdiri di tempat yang sama. Menunggu. Alpaka-alpaka itu masih memandang ke arah laluan pejalan kaki. Menunggu. Hari pertama mereka menunggu.
Hari kedua mereka menunggu. Hari ketiga mereka masih menunggu, kerana pergantungan mempunyai sifat yang aneh. Perkara ini membuatkan seseorang percaya bahawa apa yang sentiasa ada akan terus ada selama-lamanya.
Bukankah manusia juga begitu? Semakin lama aku memerhati mereka, semakin aku melihat persamaan itu. Mereka bergantung kepada telefon untuk mengingati nombor yang dahulunya dihafal. Bergantung kepada peta digital untuk mencari jalan yang dahulunya dipelajari. Bergantung kepada mesin untuk melakukan pekerjaan yang suatu ketika dahulu dilakukan dengan tangan sendiri.
Mereka ketawa melihat haiwan menjadi terlalu bergantung kepada manusia, sedangkan mereka sendiri semakin bergantung kepada ciptaan mereka.
Merpati itu mengembangkan sayapnya sebelum berkata perlahan, “Kalau manusia hilang esok, aku rasa kami burung masih boleh belajar hidup semula.”
Aku memandang ke arah lautan manusia yang memenuhi zoo petang itu. Sorakan penyokong bola sepak masih kedengaran dari jauh, bergema dari bandar yang sedang meraikan sesuatu yang mereka anggap penting.
“Mungkin,” kataku dalam hati, tetapi aku tidak pasti manusia mampu melakukan perkara yang sama.
Dan buat pertama kalinya petang itu, aku merasakan haiwan-haiwan di zoo ini mungkin tidak dikurung oleh pagar semata-mata. Ada yang dikurung oleh keselesaan. Dan ada juga yang dikurung oleh kepercayaan bahawa dunia akan sentiasa menyediakan segala-galanya untuk mereka, walaupun sejarah berkali-kali membuktikan sebaliknya.
Namun, siapa aku untuk mengajar manusia tentang kebebasan? Aku hanyalah seekor Orang Utan Borneo yang hidup beribu-ribu kilometer dari hutan yang sepatutnya menjadi rumahku.
Setinggi mana pun fikiranku memanjat, sejauh mana pun renunganku mengembara, hakikatnya aku tetap pulang ke platform kayu yang sama setiap malam.
Aku tetap tidur di bawah kanopi buatan manusia, dikelilingi batu buatan manusia dan pokok yang ditanam mengikut pelan buatan manusia.
Mungkin itulah ironi yang paling lucu. Aku sering memerhatikan manusia dan bertanya mengapa mereka begitu mudah menjadi tawanan kepada kebiasaan, keselesaan dan kehendak mereka sendiri. Sedangkan aku sendiri tidak pernah benar-benar bebas.
Bezanya cuma satu. Sangkarku diperbuat daripada besi, kaca dan parit konkrit. Sangkar mereka jauh lebih canggih kerana kebanyakannya tidak dapat dilihat dengan mata.
Ketika sorakan para penyokong bola sepak bergema dari kejauhan dan lautan manusia terus mengalir melewati kandangku, aku menghela nafas panjang lalu memandang ke arah langit petang Los Angeles.
Setiap hari aku menjadi saksi berjuta manusia yang berjalan masuk ke dalam sangkar mereka sendiri setiap hari. Dan menganggapnya itulah kebebasan sebenar. – UTUSAN










