PETALING JAYA: Pelakon, Nurel Baharin, menafikan dakwaan kononnya bakal suaminya berasal daripada keluarga berada sehingga membolehkan mereka mengadakan majlis perkahwinan di sebuah lokasi mewah tidak lama lagi.
Menurut Nurel, 23, tunangnya yang masih dirahsiakan identitinya itu berasal daripada keluarga sederhana dan kini bergelar ahli perniagaan.
“Tidak betul apa yang diperkatakan orang. Pergilah tengok rumah saya di kampung. Saya ini orang biasa sahaja.
“Bakal suami saya pun datang daripada keluarga biasa. Memang benar dia berniaga, tetapi kehidupannya juga sederhana.
“Bezanya, dia berasal dari Semenanjung manakala saya pula anak Sarawak,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Ate Kome, I Love You di Sunway Pyramid, di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai perkahwinan yang dijadual berlangsung dalam tempoh beberapa minggu lagi, Nurel mengakui tidak pernah menyangka akan menamatkan zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun.
“Saya tidak pernah merancang untuk berkahwin pada usia muda. Mungkin ini rezeki saya kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik dan tegas. Dia juga terus berjumpa keluarga saya.
“Perkahwinan ini adalah rezeki terbesar saya pada tahun ini. Keluarga mentua juga sangat baik, manakala ibu bapa saya memahami hasrat saya untuk berkahwin pada usia muda.
“Pada mulanya mereka mahu saya berkahwin ketika berusia 30 tahun. Namun, bakal suami berjaya meyakinkan mereka kerana dia tahu apa yang dimahukan dalam kehidupan,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai hubungan mereka, Dewi Remaja 2023 itu mengakui tersentuh dengan kesungguhan tunangnya yang berusaha mendapatkan restu keluarga sebelum mereka membuat keputusan untuk berkahwin.
“Perkenalan kami sangat singkat. Saya mengenalinya selama setahun dan dalam tempoh itu juga kami membuat keputusan untuk berkahwin. Majlis merisik pula berlangsung pada November tahun lalu.
“Kesungguhannya untuk menghalalkan saya membuatkan saya yakin dengannya. Hari kedua kami berjumpa, dia terus berkenalan dengan ibu saya.
“Beberapa hari kemudian, dia pula bertemu adik-beradik saya. Dia memang ada perancangan sendiri untuk mengenali keluarga saya dan mereka sangat tertarik dengan kesungguhannya,” katanya.
Dalam pada itu, Nurel berkata, keputusan untuk mendirikan rumah tangga tidak akan menjejaskan kerjayanya sebagai pelakon kerana tunangnya tidak pernah meletakkan sebarang syarat berhubung bidang lakonan.
“Bakal suami mahu saya terus bekerja dan tidak mahu saya berhenti. Dia mahukan seorang isteri yang mempunyai kerjaya sendiri.
“Soal anak dan perancangan keluarga boleh difikirkan kemudian. Dia memahami kerjaya saya sebagai pelakon dan tidak pernah mengenakan sebarang syarat,” katanya.
Terdahulu, Nurel berkongsi gambar dan video majlis merisik serta pertunangannya yang berlangsung pada 15 November tahun lalu menerusi media sosial miliknya.
Sebelum ini, timbul khabar angin mendakwa pelakon itu bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki daripada keluarga hartawan sehingga membolehkan majlis perkahwinan mereka diadakan di sebuah lokasi eksklusif di Sarawak. – UTUSAN










