KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, Pelakon, Nureel Baharin selamat bergelar isteri kepada Esmeer Mansor.
kedua mempelai disatukan dalam majlis pernikahan yang diadakan di Kelab Golf Sarawak, pagi tadi.
Dalam majlis yang diadakan secara tertutup, pengantin perempuan menerima mas kahwin berupa wang tunai sebanyak RM300.
Nureel dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia meluahkan rasa syukur kerana pernikahannya berjalan lancar.
“Dari minggu lalu Nurel rasa gementar, dengan majlis lagi, dengan kawan-kawan dan keluarga dari semenanjung nak datang, semua itu Nurel risau dan fikir sama ada mereka okey atau tidak.
“Alhamdulillah, selepas nikah tadi, Nurel dapat jumpa semua dan majlis berjalan dengan lancar.
“Esmeer tunjuk penuh usaha untuk ‘sah’ kan saya sebagai seorang isteri. Dia tak teragak untuk jumpa keluarga dan terus rancang perkahwinan kemi lepas keluarga saya bagi persetujuan,” katanya.
Bertemakan English Wedding itu, Nureel mengenakan busana yang dihasilkan jenama terkenal, HeetamPuteh dan Sejiwa by The Gown Atelier.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran rakan artis antaranya Zarif Ghazzi, Aizat Saha, Farees Asri, Aniq Suhair, Fimie Don dan ramai lagi.
Nurel menyifatkan Esmeer sebagai seorang yang sangat matang dan memenuhi kriteria sebagai suami pilihannya.
“Saya bersyukur sekarang saya sudah menjadi seorang isteri dan paling teruja memulakan hidup baharu sebagai seorang isteri dan pelakon.
“Esmeer pun tak pernah halang saya dari terus berkarya dan menjadi seorang pelakon. InsyaAllah, saya sentiasa percaya pada rezeki Allah dan rezeki selepas berkahwin,” ujarnya.










