Nourul pernah berguru dengan Tony Robbins jadi pakar motivasi - Utusan Malaysia

Nourul pernah berguru dengan Tony Robbins jadi pakar motivasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Depp kini bergelar pakar motivasi bertauliah dan penceramah yang mendapat akreditasi rasmi daripada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC).

Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, dia aktif mengendalikan seminar pembangunan diri sejak tahun 2023 selepas mengikuti kursus profesional, termasuk menimba ilmu dengan pakar motivasi antarabangsa, Tony Robbins.

“Saya mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2023 selepas menghadiri kursus dan ditauliahkan sebagai pakar motivasi serta penceramah HRDC. Sebelum memulakan seminar, saya terlebih dahulu belajar dan mendapatkan sijil profesional termasuk bersama pakar motivasi terkenal, Tony Robbins.

“Apabila melihat hantaran yang dimuat naik oleh Kamal Adli semalam, saya rasa itu adalah tanggungjawab serta bidang kepakaran saya untuk membantu. Disebabkan itu, saya terpanggil untuk menulis komen dan menawarkan bantuan sekiranya dia memerlukan khidmat saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Kerana Terluka ini menjelaskan bahawa dia mempunyai modul tersendiri yang memfokuskan kepada pembangunan minda, emosi dan fizikal secara holistik menerusi seminar berskala kecil yang dianjurkannya.

Hasil keberkesanan modul tersebut, dia sekali lagi menerima kepercayaan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meneruskan program perintis pada tahun ini.

“Tahun lalu, kami telah berjaya melatih 50 peserta wanita menerusi modul pembangunan minda secara holistik yang saya hasilkan sendiri. Selepas kesibukan mengendalikan seminar tersebut sebelum konsert tempoh hari, tahun ini projek berkenaan telah disahkan bakal diteruskan lagi,” katanya.

Terdahulu, pelakon Kamal Adli membuat satu hantaran di mana dirinya berdepan rasa kesunyian sehingga meminta pandangan orang ramai tentang cara terbaik yang harus diambil untuk mengatasi kesunyiannya itu.

Lantaran itu, Nourul terpanggil untuk berkongsi latar belakang profesionalnya selepas melihat hantaran yang dimuat naik itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN