Network School bakal beroperasi di Kazakhstan

Network School bakal beroperasi di Kazakhstan

NOTIS pemberitahuan penutupan sementara ditampal pada pintu masuk utama Network School di Forest City, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Network School yang sebelum ini beroperasi di Forest City, Johor bakal membuka kampus baharunya di Kazakhstan menerusi kerjasama dengan kerajaan negara berkenaan.

Pengasasnya, Balaji Srinivasan berkata,  satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Network School dengan Republik Kazakhstan bagi merealisasikan pembangunan kampus tersebut.

Katanya, kampus berkenaan dirancang sebagai pusat menghimpunkan bakat teknologi dari seluruh dunia dengan kemudahan antaranya proses visa dipercepat, urusan penempatan lebih mudah serta pengambilan bakat secara aktif.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa memorandum persefahaman telah ditandatangani antara Republik Kazakhstan dan Network School.

“Kampus baharu kami akan menjadi tempat perlindungan bagi komuniti global yang optimis terhadap teknologi,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Sementara itu, Kementerian Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital Kazakhstan memaklumkan, MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital negara itu, Zhaslan Madiyev bersama Balaji.

Kerjasama tersebut merangkumi pembangunan program pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI), sokongan terhadap syarikat pemula niaga, penyelidikan bersama serta penganjuran persidangan antarabangsa.

Ia juga bertujuan menarik pakar terkemuka, syarikat teknologi dan pelaburan asing ke Kazakhstan sekali gus mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai pusat serantau dalam bidang AI dan inovasi.

Perkembangan tersebut hadir selepas lesen perniagaan Network School di Malaysia dilaporkan ditarik balik susulan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang imigresen di kampus Forest City.

Sebelum itu, Balaji dilaporkan menangguhkan rancangan pelaburan lanjut bernilai kira-kira RM500 juta di Malaysia sementara menunggu jaminan berhubung kedudukan dan operasinya di negara ini. 

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan Network School serta mengarahkan semua aktivitinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN