KOTA BHARU: Jabatan Perikanan akan membatalkan lesen vesel penangkapan ikan tempatan yang didapati terlibat dalam kegiatan penyeludupan diesel, termasuk mengubah suai bot dengan memasang tangki tambahan atau struktur khas bagi tujuan berkenaan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan jelas melarang semua vesel penangkapan ikan digunakan untuk sebarang aktiviti penyeludupan minyak.
Menurutnya, pemilik bot juga tidak dibenarkan membina struktur luar atau memasang tangki simpanan tambahan yang boleh digunakan untuk menjalankan kegiatan penyeludupan diesel.
“Sekiranya didapati melanggar syarat lesen, tindakan boleh diambil di bawah Akta Perikanan 1985 dan lesen vesel berkenaan boleh dibatalkan.
“Jika mereka ditangkap di bawah undang-undang lain yang dikuatkuasakan agensi berkaitan, Jabatan Perikanan akan menilai semula lesen tersebut dan sekiranya kesalahan itu terbukti, lesen akan dibatalkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Timur 2026 Jabatan Perikanan Malaysia di sebuah kompleks beli-belah di Tunjong, di sini hari ini.
Adnan memberitahu, pindaan terhadap Akta Perikanan 1985 turut memperkukuhkan aspek penguatkuasaan apabila vesel penangkapan ikan tempatan kini dilarang memunggah atau memindahkan bekalan termasuk bahan api di tengah laut.
Katanya, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah akta berkenaan dan pesalah boleh dikenakan tindakan, selain berdepan tindakan di bawah peruntukan undang-undang lain yang dikuatkuasakan oleh kementerian atau agensi berkaitan.
“Jabatan Perikanan akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak yang membabitkan vesel penangkapan ikan.
“Meskipun kes bot nelayan disalahguna untuk kegiatan penyeludupan diesel disifatkan sebagai terpencil, namun pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengelakkan kegiatan itu daripada menjadi semakin berleluasa,” ujarnya. – UTUSAN










