SEREMBAN: Naratif perpaduan ummah yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini adalah tidak mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian dalam negara ini.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, gambaran bahawa hanya kelompok tertentu sahaja yang layak berkenaan perkara membabitkan orang Melayu dan Islam juga hanya akan menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Baru-baru ini ada gambaran seolah-olah hanya satu kelompok sahaja yang boleh memonopoli Melayu, Islam, habis Haji Khalid Samad bukan Melayu Islam? saya bukan Melayu Islam? jadi politik yang agak eksklusif seperti itu tidak mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian dalam negara kita.
“Bagi kami di PH memandang serius, kami akan berusaha lebih keras untuk menyantuni dan memberi kefahaman kepada pengundi bahawa dalam PH juga golongan Melayu, Islam tidak dipinggirkan.
“Jumlah masjid yang dibina di Negeri Sembilan lebih banyak dalam era Tok Min (Aminuddin Harun) berbanding sebelum ini. Kutipan zakat meningkat dengan sangat tinggi, ini buktikan pentadbiran PH dan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan tidak meminggirkan Melayu dan Islam. Ketuanya Melayu, Islam dan sokonglah Melayu, Islam bernama Aminuddin Harun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar PH di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
Sementara itu, Khalid berkata, perpaduan ummah adalah sesuatu yang bagus cuma mestilah dalam asas hendak melakukan kebaikan dan bukannya untuk menanam kebencian.
“Sememangnya naratif yang dibawa itu berkesan semasa di Johor dan kita lihat bagaimana undi orang Melayu khususnya dari Pas telah disatukan dan dijumlahkan undi calon BN.
“Ia memang satu cabaran bukan hanya untuk pilihan raya tetapi satu ancaman pembangunan negara yang bersatu padu.
“Apabila diperkotak-katik rakyat mengikut kaum dan bangsa serta dilaga-lagakan maka ia merupakan satu masalah. Oleh kerana itu PH melihat ia sebagai satu ancaman, bukan sekadar untuk pilihan raya tetapi juga untuk membina perpaduan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










