KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan menjalani satu prosedur perubatan bagi membuang plak yang terdapat berhampiran saluran darah.
Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pihaknya keluarga amat menghargai keprihatinan semua pihak yang menghubungi mereka untuk bertanya khabar selain menitipkan doa dan kata-kata semangat buat Najib.
“Beliau dijadualkan menjalani satu prosedur perubatan bagi membuang plak yang terdapat berhampiran saluran darah.
“Dalam saat ini, saya memohon agar semua terus mendoakan semoga segala urusan dan prosedur yang bakal dijalani beliau dipermudahkan, berjalan dengan lancar dan beliau dikurniakan kesihatan serta kekuatan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Rosmah turut merakamkan penghargaan kepada sahabat, rakan dan penyokong Najib atas ingatan, kasih sayang serta doa yang tidak putus-putus diberikan kepada suaminya.
Terdahulu, media melaporkan, bekas Perdana Menteri itu mengalami masalah jantung dan dijadual menjalani satu prosedur berkaitan minggu depan.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam kes SRC International.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri itu daripada 12 tahun kepada enam tahun. Turut dikurangkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada April lalu Najib telah menarik balik permohonan untuk tahanan rumah. – UTUSAN










