PETALING JAYA: Muafakat antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran tambahan yang dikemukakan PN melengkapi Manifesto BN sebagai ikhtiar bersama untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Menurutnya, manifesto bukan sekadar janji, sebaliknya amanah yang mesti ditunaikan kepada rakyat.
“Perikatan Nasional mengemukakan 14 tawaran tambahan berteraskan enam bidang utama iaitu pentadbiran, belia dan keluarga, ekonomi, kebajikan, pendidikan serta pekerjaan.
“Tawaran ini melengkapi Manifesto Barisan Nasional sebagai ikhtiar bersama untuk membentuk sebuah kerajaan Negeri Sembilan yang stabil, amanah dan berkeupayaan,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Samsuri berkata, setiap komitmen yang dirangka dibuat secara realistik dan bertanggungjawab dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri serta keperluan sebenar rakyat.
Katanya, tawaran itu merangkumi aspek kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan ekonomi serta kebajikan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Muafakat ini meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat menilai tawaran yang dikemukakan PN dan BN bagi membina masa depan Negeri Sembilan.
“Ayuh kita melangkah bersama, membina harapan baharu dan mencipta masa depan Negeri Sembilan yang lebih gemilang,” katanya. – UTUSAN










