KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang membangunkan pakej pelancongan bersepadu yang menghubungkan stesen utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan dengan destinasi tarikan popular termasuk Bandar Kota Bharu, Jeram Pasu dan Lata Jeram Linang.
Timbalan Menterinya, Chiew Choon Man berkata, pihak kementerian bersedia memanfaatkan Projek ECRL termasuk jajaran Seksyen A yang melibatkan Stesen Kota Bharu dan Stesen Pasir Putih serta Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) sebagai pemangkin kemudahsampaian pelancong domestik dan antarabangsa ke Kelantan.
Katanya, inisiatif itu dijangka merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
“MOTAC akan memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri, agensi pelancongan, pengusaha produk dan masyarakat setempat untuk membangunkan pakej pelancongan yang bersepadu.
“Pakej-pakej baharu ini boleh direka khusus untuk menghubungkan terus stesen-stesen ECRL utama seperti Stesen Kota Baru dan Pasir Putih dengan destinasi tarikan popular tempatan termasuk Bandar Kota Bharu, Jeram Pasu, dan Lata Jeram Linang.
“Pada masa sama, produk pelancongan bertema seperti Pelancongan Warisan Sejarah dan Kebudayaan turut diperkasakan sejajar dengan inisiatif Jejak Warisan dan Jejak Adiguru bagi mengetengahkan identiti unik dan produk kraf kommuniti tempatan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berhubung perancangan kementerian memanfaatkan ECRL dan LTU bagi meningkatkan kemasukan pelancong ke Kelantan, selain mewujudkan peluang pekerjaan serta keusahawanan kepada penduduk setempat.
Mengulas lanjut, Choon Man berkata, kerajaan negeri perlu mengenal pasti dan mengemukakan cadangan projek kemudahan infrastruktur pelancongan untuk pertimbangan MOTAC di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.
Katanya, langkah itu penting bagi menaik taraf kemudahan asas sedia ada di kawasan sepanjang jajaran berkenaan supaya mampu menampung jangkaan kemasukan pelancong yang lebih tinggi.
“Dari aspek promosi, MOTAC melalui Tourism Malaysia akan meneruskan program familiarisation trip melibatkan media dan pempengaruh serta penyertaan dalam pameran pelancongan seperti MATTA Fair dan Karnival Cuti-Cuti Malaysia bagi memperkenalkan pakej pelancongan Kelantan menjelang pengoperasian ECRL.
“Promosi Kelantan sebagai Negeri Serambi Budaya juga akan terus dipergiat melalui pelbagai program Tourism Malaysia termasuk Program Pesta Pantai Timur dan enam program di bawah Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) yang dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, MOTAC turut mengalu-alukan kerjasama dan cadangan Ahli Dewan Negara supaya kedua-dua projek infrastruktur berkenaan dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya dalam memartabatkan industri pelancongan di Kelantan dan wilayah Pantai Timur.-UTUSAN









