KUALA TERENGGANU: Kru kapal MV Berkat Tuah yang terkandas hampir setahun di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamad Luqman Yahaya mengakui trauma dengan insiden tersebut.
Pemuda berusia 31 tahun yang tinggal di Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Kemaman dekat sini berkata, pengalaman pertama kali bekerja di luar negara meninggalkan kesan pahit buatnya.
Katanya, dia mahu pulang ke pangkuan keluarga terlebih dahulu sebelum memikirkan perancangan akan datang.
“Saya akan balik ke kampung petang ini atau esok dan mahu berehat dahulu sebelum cari kerja baharu.
“Saya perlu ambil sedikit masa untuk mencari syarikat baharu selain perbaharui sijil yang sudah tamat tempoh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata, sepanjang dia bekerja sebagai kru kapal, lazimnya kontrak kerja paling lama hanya tiga bulan.
Bagaimanapun katanya, insiden yang berlaku betul-betul memberi pengalaman yang tidak akan dilupakannya.
“Seperti mimpi apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tengah hari semalam,” katanya.
Mohammad Luqman berkata, selepas ini dia akan lebih berhati-hati memilih syarikat baharu supaya insiden sama tidak berulang.
Dia juga berharap isu tunggakan gaji selama hampir enam bulan dapat diselesaikan segera.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan nasib lima kru kapal MV Berkat Tuah yang hampir setahun terkandas di perairan UAE dengan gaji yang tertunggak.
Selain Mohamad Luqman, empat lagi kru ialah Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, (Sabah); Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, (Sabah) dan kapten, Hendi Irawan, 43.
Mereka selamat pulang ke tanah air hasil usaha berterusan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai bersama Jabatan Laut Malaysia dan pihak berkuasa Sharjah. – UTUSAN










