KUALA TERENGGANU: Advokasi teknologi nuklear yang diketengahkan sebagai antara tarikan utama Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Zon Timur 2026 mencuri perhatian pengunjung sekali gus menjadi pendekatan baharu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap aplikasi sains dalam kehidupan seharian.
Pendedahan itu diberikan menerusi pelbagai pameran dan aktiviti interaktif yang menjelaskan penggunaan teknologi nuklear secara selamat dalam sektor kesihatan, pertanian, industri dan penyelidikan.
Karnival anjuran MOSTI dengan kerjasama Rakan MySains MOSTI dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) , di sini itu berlangsung tiga hari bermula semalam.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Datuk Ruziah Shafei berkata, penganjuran MSN adalah antara inisiatif utama kerajaan bagi membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
Katanya, program itu bertujuan memupuk minat serta kecintaan generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak di bangku sekolah selain mengubah persepsi bahawa sains bidang yang sukar.
“Usaha ini penting bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam aliran sains sekali gus memenuhi keperluan negara terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
“Selain membudayakan STI secara inklusif, MSN turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat masa depan, memperkukuh ekosistem inovasi serta mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi dalam bidang sains,” katanya selepas Majlis Peluncuran Karnival Minggu Sains Negara Zon Timur di PSKT. Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
Ruziah berkata, Karnival Minggu Sains Negara 2026 diadakan secara fizikal di lima zon utama iaitu Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak bermula Jun hingga Oktober ini.
Katanya, penganjuran Zon Timur melibatkan kerjasama strategik antara MOSTI, PSKT, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemain industri bagi memperluas penyertaan masyarakat dalam aktiviti berkaitan STI.
“Selain advokasi nuklear, MOSTI turut memperkenal Platform Sains Rakyat menerusi portal sainsrakyat.my yang membolehkan orang ramai terlibat secara aktif dalam pengumpulan, pemerhatian dan analisis data saintifik negara.
“Melalui inisiatif ini, masyarakat bukan sahaja menjadi pengguna teknologi malah berperanan sebagai penyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan negara,” katanya. – UTUSAN










