PASIR SALAK: Sebanyak 10 rumah di Persiaran Lada 9, Taman Changkat Lada Raya di sini mengalami keretakan yang dipercayai berpunca daripada mendapan tanah akibat longkang pecah di hadapan kediaman mereka.
Penduduk, Aishah Muhamad, 33, berkata, keretakan pada rumahnya mula disedari tahun lalu apabila pagar bata, tiang dan lantai menunjukkan tanda-tanda retak serta condong.
Menurutnya, dia yang tinggal bersama empat lagi ahli keluarga termasuk mentua bimbang terhadap keselamatan anak-anak yang gemar bermain berhampiran pagar rumah yang semakin retak.
“Keadaan ini memang membimbangkan kerana kami takut pagar rumah boleh tumbang pada bila-bila masa.
“Jalan di hadapan rumah pula merupakan laluan utama. Setiap kali kenderaan melalui kawasan ini, lantai rumah terasa bergegar dan keadaan itu menimbulkan rasa tidak selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Aishah berkata, dia juga khuatir air yang mengalir melalui longkang akan terus menghakis tanah di bawah rumah sehingga menyebabkan mendapan lebih serius.
“Kami bimbang keadaan akan bertambah buruk dan rumah boleh runtuh sekiranya masalah ini tidak ditangani segera.
“Saya berharap pihak berkaitan datang melihat sendiri keadaan rumah kami yang semakin retak dari semasa ke semasa,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Kharuddin Ahmad, 58, berkata, keretakan pada beberapa bahagian rumahnya semakin ketara sehingga menjejaskan struktur kediaman.
Menurutnya, hasil pemerhatian di kawasan perumahan itu mendapati, kerosakan dipercayai berpunca daripada longkang yang pecah sehingga menyebabkan berlakunya mendapan tanah.
“Bahagian lantai, dinding dan tiang rumah mengalami keretakan. Rumah ini mempunyai tiga bilik tidur, dapur dan ruang tamu, semuanya sudah retak.
“Malah, pintu pagar tidak lagi dapat ditutup kerana tiangnya turut retak. Lantai mozek juga semakin tidak rata dan ada yang sudah pecah kerana dipercayai terdapat aliran air di bawah tanah akibat longkang yang rosak,” katanya.
Kharuddin berkata, aduan mengenai masalah itu telah dikemukakan kepada pihak berkaitan dan pemeriksaan turut dijalankan.
Namun, ujarnya, sehingga kini tiada tindakan pembaikan diambil. – UTUSAN










