MCCC Pahang gesa lesen pemandu mabuk, dadah penyebab maut dibatal seumur hidup - Utusan Malaysia

MCCC Pahang gesa lesen pemandu mabuk, dadah penyebab maut dibatal seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang menggesa kerajaan mempertimbangkan pembatalan lesen memandu seumur hidup terhadap individu yang didapati bersalah menyebabkan kemalangan maut ketika memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pengerusinya, Daniel Khoo berkata, kerajaan juga wajar mengkaji hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun terhadap pesalah terbabit sebagai langkah lebih berkesan untuk membendung kejadian sama daripada terus berulang.

Beliau berkata, tragedi yang mengorbankan seorang kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Muadzam Shah, Pahang pada Jumaat membuktikan perlunya undang-undang lebih tegas bagi melindungi pengguna jalan raya.

“Nyawa manusia tidak boleh diganti. Individu yang memilih memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah sedar akan risiko tindakan mereka, namun masih sanggup membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Atas sebab itu, MCCC Pahang menggesa kerajaan mempertimbangkan pembatalan lesen memandu seumur hidup terhadap pesalah yang disabitkan menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Daniel, hukuman sedia ada perlu dikaji semula supaya benar-benar memberi kesan kepada pesalah dan menjadi amaran kepada orang ramai agar tidak mengambil mudah kesalahan berkenaan.

“Kami juga berpandangan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun wajar dipertimbangkan bagi kesalahan yang mengakibatkan kematian kerana kehilangan satu nyawa tidak boleh dinilai dengan apa juga bentuk pampasan.

“Hukuman yang lebih berat bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya menjadi mesej jelas bahawa negara tidak akan berkompromi terhadap mereka yang memilih memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah sehingga meragut nyawa orang lain,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula undang-undang berkaitan supaya hukuman yang dikenakan benar-benar mencerminkan keseriusan sesuatu kesalahan, terutama apabila melibatkan kehilangan nyawa.

Katanya, setiap kemalangan maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah bukan sahaja meragut nyawa mangsa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga yang terpaksa menanggung kehilangan insan tersayang.

“Kita sering melihat kes seperti ini berulang. Setiap kali berlaku tragedi, masyarakat akan bersimpati kepada keluarga mangsa, namun selepas beberapa ketika isu itu kembali dilupakan.

“Pendekatan lebih tegas perlu diambil supaya kesedaran masyarakat dapat dipertingkatkan dan mereka memahami bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah bukan satu kesalahan kecil, sebaliknya perbuatan yang boleh membawa maut,” katanya.

Dalam pada itu, Daniel turut menggesa pihak berkuasa memperhebatkan operasi penguatkuasaan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, termasuk meningkatkan pemeriksaan di lokasi berisiko tinggi serta memperluaskan kempen pendidikan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, kombinasi penguatkuasaan yang konsisten, hukuman lebih berat dan pendidikan awam mampu menjadi langkah terbaik bagi mengurangkan kemalangan maut serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.

Terdahulu, media melaporkan seorang kakitangan AADK maut selepas MPV dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi MPV di Kilometer 161 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Muadzam Shah pada Jumaat.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, manakala beberapa individu lain cedera. Kes berkenaan kini dalam siasatan polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN