PETALING JAYA: Sebanyak 39 projek bernilai RM40.5 juta bakal dilaksanakan bagi menangani kejadian banjir kilat di beberapa kawasan berisiko sekitar Petaling Jaya.
Projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta agensi teknikal berkaitan menerusi pelan mitigasi menyeluruh.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, lima projek keutamaan dijangka siap pada Februari tahun depan.
“Ia termasuk pembinaan Sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS), pemasangan flap gate, pembinaan kemudahan takungan air serta penaiktarafan sistem perparitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, lapan lagi projek bernilai RM8.15 juta di Seksyen 51A dijangka siap pada akhir tahun ini, merangkumi pembinaan parit monsun, pemasangan flap gate dan kolam takungan sementara.
“Bagi langkah jangka sederhana, kerja pengerukan kolam, pemasangan pam dan penaiktarafan sistem saliran bernilai RM4 juta disasarkan siap tahun hadapan.
“JPS juga akan membina tembok penahan banjir sepanjang Sungai Penchala dengan anggaran kos RM500,000,” katanya.
Menurut Mohamad Zahri, langkah itu diambil susulan kejadian banjir kilat pada 18 Julai lalu yang melanda beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, terutamanya di Seksyen 51A, Kampung Chempaka dan Terowong FAS berhampiran Taman Megah Emas.
“Berdasarkan pemantauan teknikal, kejadian banjir berpunca daripada taburan hujan luar biasa yang direkodkan di beberapa stesen hujan sekitar Petaling Jaya, iaitu antara 65 milimeter (mm) hingga 104 mm dalam tempoh singkat.
“Jumlah ini melebihi kapasiti reka bentuk sistem saliran sedia ada sehingga menyebabkan peningkatan mendadak aliran air permukaan dan Sungai Penchala serta Sungai Klang melimpah di beberapa lokasi berisiko,” katanya.
Mohamad Zahri berkata, taburan hujan luar biasa itu menyebabkan paras air di Jalan 223 dan Seksyen 51A meningkat kira-kira empat hingga lima kaki dari aras jalan.
Katanya, Sungai Penchala turut melimpah lebih satu meter dari tebing sehingga menyebabkan beberapa kenderaan dihanyutkan arus.
“Di Jalan Templer pula, paras Sungai Klang yang tinggi memperlahankan aliran keluar air daripada sistem saliran.
“Terowong FAS dan Persiaran Surian turut mengalami limpahan air berikutan peningkatan paras Sungai Kayu Ara serta taburan hujan berintensiti tinggi,” katanya. – UTUSAN










