ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini menutup dan menyita salah sebuah premis NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City, di sini selepas menyerahkan Notis Pembatalan Lesen.
Jabatan Penguatkuasaan MBIP bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi premis kira-kira pukul 11.30 pagi bagi melaksanakan operasi penyerahan notis sebelum tindakan penutupan dan penyitaan premis dilakukan.
Kehadiran anggota penguat kuasa MBIP ke Network School turut membuat pemeriksaan terhadap salah sebuah premis yang telah dibatalkan lesen perniagaan.
Penguatkuasa juga dilihat menampal notis perintah tutup premis berwarna merah dan memasang pita penghalang berwarna kuning yang tertera logo MBIP di pintu masuk premis berkenaan.
Notis itu menyatakan tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 49(2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018.
Notis perintah tutup premis yang ditampal di pintu masuk premis di Jalan Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, di sini berkuat kuasa mulai pukul 11.45 pagi yang menghalang sebarang aktiviti dijalankan.-UTUSAN










