Majikan Sri Lanka ditahan eksploitasi warga senegara jadi buruh paksa 

Majikan Sri Lanka ditahan eksploitasi warga senegara jadi buruh paksa 

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan seorang lelaki warga Sri Lanka yang disyaki mengeksploitasi seorang pekerja senegaranya sebagai buruh paksa dalam operasi di tiga lokasi sekitar Jenjarom Selangor semalam.

Penahanan suspek berusia 38 tahun itu hasil aduan awam dan risikan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta AMLA.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu turut membawa kepada penyelamatan seorang wanita warga Sri Lanka yang dikenal pasti sebagai mangsa eksploitasi buruh paksa.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan serta janji mendapatkan permit kerja sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah premis makanan milik suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata, mangsa dipercayai dipaksa bekerja tanpa menerima gaji, tidak diberikan makanan mencukupi, dikawal pergerakannya serta mengalami kekerasan fizikal sebagai bentuk ugutan dan intimidasi.

“Enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” jelasnya.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0 (NGHTI 2.0), manakala permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) telah dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Siasatan mendapati suspek yang memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS) melalui perkahwinan dengan seorang warga Malaysia disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Zakaria berkata, JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi pekerja dan pemerdagangan orang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×