Lumadan Agro Hub pacu ekonomi desa, lahirkan usahawan muda

Lumadan Agro Hub pemacu ekonomi desa, lahirkan ramai usahawan muda

Industri penternakan ayam turut mendapat perhatian Ruslan Muharam untuk penglibatan orang muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usaha mewujudkan Lumadan Agro Hub yang menghimpunkan usahawan desa, pasar tani dan pengusaha kampung menjadi agenda utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam dalam merancakkan pembangunan ekonomi berasaskan pertanian, perikanan dan peternakan di kawasan terbabit.

Agenda itu merupakan keutamaan beliau setelah menerima mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) pada November tahun lalu.

Menurut beliau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat ekonomi agro kerana memiliki tanah luas dan subur selain kekuatan dalam sektor perikanan, industri kecil dan sederhana (IKS) serta aktiviti penternakan.

Katanya, lebih 80 peratus sumber pendapatan penduduk di kawasan Lumadan dan Beaufort masih bergantung kepada hasil pertanian dan aktiviti berkaitan sektor agro, justeru, Lumadan Agro Hub yang dicadangkan akan menjadi platform menghimpunkan semua usahawan desa, pengusaha kampung dan peserta pasar tani bagi memperkukuhkan rantaian pemasaran serta meningkatkan pendapatan rakyat.

 

BIODATA
Datuk Ruslan Muharam
Tarikh lahir:
4 November 1962
Asal: Beaufort
Pendidikan:
 Sijil Sains Sosial – Institut Kemahiran Sabah (2021)
 Diploma Sains Politik – Wilmington Metropolitan
University (2022)
 Ijazah Sarjana Sains Politik – Universiti Teknologi
Malaysia (UTMSpace – dalam pengajian)

Jawatan lain sebelum ini:
 Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama )

Jawatan Politik:
 Naib Presiden Parti Bersatu Sabah

“Agenda ini juga selaras dengan tanggungjawab saya di peringkat kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai sumber ekonomi utama rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu berkata, antara potensi besar yang perlu diberikan perhatian adalah industri pemprosesan sagu yang menjadi identiti daerah Beaufort.

Menurutnya, peningkatan harga sagu sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan tanaman tersebut mempunyai nilai ekonomi yang tinggi berbanding tanggapan masyarakat sebelum ini.

“Dahulu harga sagu hanya sekitar RM12 hingga RM25 sekilogram, namun kini boleh mencecah lebih RM100 bagi setiap 50 kilogram. Produk berasaskan sagu juga semakin mendapat perhatian pelancong yang ingin merasai makanan tradisional ini khususnya dalam kalangan masyarakat Bisaya.

“Ini satu bentuk nilai tambah yang mampu menjana pendapatan lebih tinggi kepada pengusaha tempatan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tanaman pokok rumbia semakin berkurangan akibat peralihan kepada tanaman komersial seperti kelapa sawit, usaha pemuliharaan perlu dilaksanakan bagi memastikan sumber bahan mentah industri sagu terus terpelihara.

Menurutnya lagi, antara cabaran utama ketika ini adalah ketiadaan mekanisme penanaman semula rumbia secara sistematik walaupun permintaan terhadap produk berasaskan sagu semakin meningkat.

Dalam sektor peternakan pula, Ruslan melihat padang ragut yang luas di Beaufort masih belum dimanfaatkan sepenuhnya walaupun permintaan terhadap daging kerbau dan lembu di Sabah terus meningkat.

Katanya, lebih 80 peratus bekalan daging dan ayam di negeri ini masih bergantung kepada import, sekali gus membuka ruang besar untuk pembangunan industri ternakan tempatan.

“Kalau kita dapat menggerakkan sektor ternakan secara agresif melalui komuniti kecil dan usahawan persendirian, kita bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran makanan tetapi membuka peluang pekerjaan kepada anak muda,” katanya.

Dalam sektor akuakultur pula, beliau menjelaskan DUN Lumadan turut mempunyai kekuatan tersendiri melalui perusahaan kolam udang yang kini diusahakan oleh beberapa pengusaha serta komuniti di bawah konsep Sejati Madani.

Katanya, terdapat projek ternakan udang yang mampu menghasilkan sehingga lapan tan bagi setiap pusingan tuaian, sekali gus membuktikan potensi besar industri itu untuk dikembangkan.

“Ramai anak muda mula menunjukkan minat terhadap akuakultur kerana sektor ini banyak menggunakan teknologi moden dan mampu memberikan pulangan baik.

“Peluang sudah ada, yang penting kita membimbing mereka supaya menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Selain itu, katanya, Lumadan juga mempunyai tanah sawah yang masih terbiar walaupun daerah Beaufort tidak termasuk dalam kawasan tumpuan pembangunan padi Sabah.

Menurutnya, Sabah ketika ini hanya mencapai sekitar 19 peratus tahap sara diri beras manakala selebihnya masih bergantung kepada import.

“Jika sawah yang terbiar dapat diusahakan semula dengan bantuan infrastruktur yang mencukupi seperti sistem pengairan dan tali air, saya yakin anak-anak muda akan melihat sektor penanaman padi sebagai peluang ekonomi yang berpotensi,” katanya.

Menyentuh cabaran semasa, Ruslan berkata, pembangunan sektor agro pada masa kini sebenarnya lebih mudah berbanding dua dekad lalu kerana kewujudan teknologi moden yang mampu meningkatkan produktiviti.

“Kalau dahulu ayam kampung kacukan memerlukan sehingga enam bulan untuk dipasarkan, kini tempoh itu boleh dipendekkan sekitar tiga bulan dengan penggunaan teknologi dan pengurusan yang lebih baik,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berharap matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai anak muda yang mampu berdikari melalui sektor pertanian, perikanan dan peternakan mampu dilaksanakan.

“Jika Lumadan Agro Hub berjaya direalisasikan, ia akan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan desa dan seterusnya mengukuhkan ekonomi rakyat di kawasan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN