PAPAR: Masalah gangguan bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk di Papar, Putatan dan Kimanis dijangka dapat diatasi menjelang penghujung tahun ini apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dan Loji Muka Sauk baharu di Kabang mula beroperasi mengikut jadual.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, LRA Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dijangka mula membekalkan air pada penghujung November ini, manakala Loji Muka Sauk Kabang dijadual beroperasi pada September.
Menurut beliau, kedua-dua projek itu akan meningkatkan kapasiti bekalan air sekali gus menyelesaikan masalah gangguan bekalan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
“Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited untuk menyelesaikannya.
“Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memberi perhatian serius terhadap semua isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan air,” katanya dalam kenyataan media selepas menerima taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji mengarahkan JANS memantau rapi pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.
Beliau turut menggesa jabatan itu lebih proaktif menangani gangguan bekalan air dengan menghantar lori tangki ke kawasan terjejas di Papar serta daerah lain di seluruh negeri.
Sementara itu, Pengarah JANS, Chee Chun Chieh berkata, projek LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijangka mula membekalkan air menjelang akhir November ini walaupun keseluruhan pembinaannya hanya siap sepenuhnya pada 2028.
Katanya, operasi awal loji itu mampu memenuhi keperluan bekalan air di Papar, Putatan hingga Kimanis sebelum penghujung tahun ini.
Beliau berkata, projek loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta pula kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada September.
“Loji muka sauk baharu itu dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi masalah kemasinan air yang sering menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.
“Apabila siap kelak, kapasiti pengambilan air akan meningkat daripada sembilan MLD kepada 30 MLD,” katanya.
Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Joachim Gunsalam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali. – UTUSAN










