Lima warga China cedera, kereta terjunam ke dalam 'gaung'

Lima warga China cedera, kereta terjunam ke dalam ‘gaung’

SEBUAH kereta dinaiki warga China terjunam ke dalam gaung selepas dipercayai tersalah masuk ke laluan tapak projek pembinaan pembetung yang belum dibuka kepada orang awam di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang, Kelantan.-IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Lima pelancong warga China cedera apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung selepas dipercayai tersalah masuk ke laluan tapak projek pembinaan pembetung yang belum dibuka kepada orang awam di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, semua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun telah dikejarkan ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada orang awam kira-kira pukul 12.01 tengah malam.

Katanya, siasatan awal mendapati semasa kejadian kereta jenis Toyota Prius yang dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun bersama empat lagi penumpang lain.

“Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh dengan berpandukan aplikasi peta navigasi.

“Kenderaan itu dipercayai telah memasuki kawasan tapak projek pembinaan pembentung yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam sebelum terjatuh ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azuhar memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang di kawasan kerja pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi terutama ketika memandu pada waktu malam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN