PETALING JAYA: Lima individu terdiri daripada seorang pemilik syarikat dan empat penjawat awam sebuah institusi pendidikan prauniversiti awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM25,000.
Penahanan kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan dilakukan kira-kira pukul 2 dan 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis.
Sumber memaklumkan, wang rasuah diterima itu sebagai balasan membantu sebuah syarikat pembinaan, pembekalan makanan dan perkhidmatan penyelenggaraan mendapatkan kerja-kerja perolehan kerajaan di institusi tersebut yang bernilai kira-kira RM100,000.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2024.
“Keempat-empat suspek yang merupakan penjawat awam dipercayai telah menerima wang suapan daripada pemilik syarikat bernilai antara kira-kira RM2,000 hingga RM10,000 bagi setiap projek dengan keseluruhan projek yang diperolehi adalah sebanyak 16,” katanya di sini.
Terdahulu, perintah reman selama empat hari sehingga 10 Julai ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Mohd Amiruldin Roslan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis Kedah pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, pihaknya tekad menoktahkan budaya salah guna kuasa dan secara tidak langsung telah melumpuhkan kartel penganugerahan kerja-kerja kepada syarikat kontraktor yang monopoli di institusi pendidikan tersebut. – UTUSAN










