NARATHIWAT (THAILAND): Lima anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45 terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, anggota renjer yang terbunuh ialah Sarjan Mejar Theerayut Somakerd, 43; renjer Sakiriya Chehna, 23; renjer Wimol Dabthong, 43; renjer Natthasit Kaewsena, 34; dan renjer Salahudin Pi, 34.
Serangan itu turut mencederakan enam orang awam iaitu Habib Hina, 10; Awatif Buehraheng, 3; Muhammad Ali Abru, 67; Muhammad Hafit Hina, 15; Masayfou Daoh, 21; dan seorang wanita warga emas, Farha Abru, 67.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian tujuh penyerang menaiki sebuah pikap manakala dua lagi menunggang motosikal sebelum menyerbu pusat pemeriksaan tersebut.
“Penyerang turut membaling bom paip menyebabkan jumlah korban yang ramai. Enam orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu turut cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, kumpulan penyerang yang disyaki anggota kumpulan pemisah peringkat operasi melarikan diri menggunakan kedua-dua kenderaan berkenaan melalui Laluan 4055 dari Mukim Tanyong Mas ke Mukim Dusongnyo.
Katanya, pihak berkuasa telah mengepung kawasan kejadian untuk mengumpul bukti dan sedang giat memburu semua pelaku bagi tujuan pendakwaan.
Jurucakap itu berkata, dalam gerakan susulan, pihak berkuasa menemukan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam serangan itu dalam keadaan terbakar di Mukim Sako, Daerah Sri Sakon, Narathiwat kira-kira pukul 8 malam.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian dan terhadap kenderaan tersebut masih diteruskan.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa kini meletakkan keselamatan di Selatan Thai, khususnya di Wilayah Narathiwat, pada tahap tertinggi susulan serangan itu serta pengeboman di Balai Polis Tanyong.-UTUSAN










