GOPENG: Kemalangan motosikal semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Seberang Perai, Pulau Pinang pada tahun 2003 menyebabkan Shahrul Nizam Zakaria, 44, mengalami kecederaan teruk dan terlantar selama dua tahun.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu dia ibarat berputus asa, malu berjumpa orang selain tiada keyakinan diri kerana tidak lagi boleh berjalan seperti orang lain malah perlu menerima hakikat perlu menggunakan kerusi roda seumur hidup.
Katanya, dia menghabiskan ribuan ringgit menjalani rawatan moden dan tradisional sebagai ikhtiar bagi merawat kecederaan struktur spinal (saraf tunjang dan turus tulang belakang).
“Namun akhirnya saya perlu menerima hakikat dari segi perubatan moden, saya tidak boleh berjalan semula dan bergelar sebagai seorang kurang upaya (OKU).
“Begitupun saya terus berjuang untuk pulih dan Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah (PPSAS) di bawah Yayasan Ipoh yang dinaungi oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berperanan sebagai sokongan emosi dengan menyediakan terapi fizikal serta menaikkan semula semangat supaya kembali bergelumang dengan masyarakat,” katanya.
Katanya, berbekalkan sumber Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan bantuan kewangan berbentuk pencen ilat kira-kira RM1,300 sebulan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuatkan dia bangkit kembali dengan menceburi bidang pertanian dan penternakan ikan.
“Mulanya saya menternak ikan keli di 10 kolam di kampung namun tidak berjaya kerana masalah tertentu. Tidak berputus asa kemudian mengusahakan tanaman rock melon selain sayur-sayuran lain seperti timun, kacang panjang, petola, labu manis dan tembikai di tanah seluas kira-kira 2.42 hektar termasuk di kampung bersebelahan iaitu Kampung Seberang Manong.
“Bantuan geran berbentuk peralatan oleh Jabatan Pertanian Perak sebanyak RM15,000 banyak memberikan menaikkan semangatnya untuk berkecimpung dalam dunia pertanian secara serius selain Fama dalam aspek pemasaran dan hebahan untuk ekspo dan pameran di seluruh negara.
“Saya juga berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar kerana banyak membantu menyediakan infrastruktur awam seperti jalan raya dan tiang lampu,” katanya.
Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Kuala Kangsar iaitu Agromakanan Perak-Lembah Makanan Negara yang bermatlamat menjadikan negeri sebagai pembekal dan pengeluar utama hasil makanan negara memfokuskan kepada pengukuhan sekuriti makanan serta mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan pengeluaran sumber biologi tempatan untuk pasaran halal domestik dan antarabangsa.
Bantuan itu juga selaras dengan strategi inovatif Perak Sejahtera 2030 menerusi Flagship Pertama Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan Flagship Kelima-Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan yang menjadi tunjang kepada visi berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemapanan dan kesejahteraan rakyat.
Dia yang dibantu isteri, Norzila Mohamad Ali, 43, dua anak serta keluarga turut menyedari prospek tanaman golden melon lalu memperkenalkan jenama Golden Melon Seberang Manong kira-kira lima tahun lalu.
“Keistimewaan tanaman ini ialah sebaik sahaja musim buah tiba, pengunjung berpeluang untuk memetik sendiri buah, belian secara terus dan berswafoto kenangan di dalam ladang.
“Malah, kombinasi tanaman golden melon ini termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan lain ini membolehkan saya menjana pendapatan yang stabil mencecah empat angka sebulan yang menstabilkan kewangan keluarga,” katanya.-UTUSAN










