Lelaki Myanmar dituduh bunuh rakan senegara

Lelaki Myanmar dituduh bunuh rakan senegara

WARGA Myanmar, Maung Aye Tun didakwa atas tuduhan membunuh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya berhampiran sebuah kilang di Taman Universiti, di sini, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Maung Aye Tun, 38, tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia terhadapnya di hadapan Majistret, Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang lelaki Myanmar bernama Aung Than Soe di tingkat bawah sebuah kilang di Jalan Perdagangan 3, Taman Universiti, Skudai antara pukul 11.30 hingga 11.45 malam pada 27 Jun lalu.

Pendakwaan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Mahkamah kemudian memerintahkan lantikan jurubahasa Burma dan kes akan disebut semula pada 4 Ogos depan.

Terdahulu, akhbar melaporkan seorang lelaki warga asing ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah pada pukul 2.27 pagi di Taman Universiti, pada 28 Jun lalu.

Mangsa berusia 33 tahun itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 4 Julai lalu.

Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa adalah blunt trauma to the head dan pihak polis mengklasifikasikan semula siasatan kes tersebut bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Susulan itu, seramai 11 individu telah ditahan termasuk lapan warga asing berusia 26 hingga 41 tahun sekitar kawasan Skudai, Taman Bukit Indah dan Iskandar Puteri selain di Ayer Keroh, Melaka dan Ampang, Kuala Lumpur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN