SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori ketika sedang memasang bendera parti politik di bahu jalan di Jalan Kuala Sawah-Rantau berhampiran Kampung Belangkan, Rantau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 23 tahun itu berada di bahu kiri jalan menghala ke Rantau bagi menjalankan kerja-kerja memasang bendera parti.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lori yang jenis dan nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti dipercayai telah melanggar tiang papan tanda sebelum merempuh mangsa.
“Selepas kejadian, lori berkenaan dipercayai meninggalkan lokasi dan usaha mengesan pemandu serta saksi kejadian sedang giat dijalankan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di bahu jalan dan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – UTUSAN










