Lelaki maut dengan kesan tikaman disyaki dibunuh

Lelaki maut dengan kesan tikaman disyaki dibunuh

NAAZRON ABDUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan Bandar Mahkota Cheras, Kajang, hari ini.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemukan seorang lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an.

“Mangsa didapati telah meninggal dunia di tempat kejadian dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Hasil pemeriksaan awal bersama pasukan forensik mendapati terdapat kesan kecederaan yang dipercayai akibat senjata tajam pada tubuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pegawai perubatan Hospital Kajang mendapati punca kematian mangsa adalah akibat pendarahan pada bahagian abdomen yang berpunca daripada kecederaan tikaman.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah turut boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti identiti mangsa, mengesan saksi serta individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ong Eng Yew di talian 012-696 6849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN