LANGKAWI: Percutian sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang lelaki lemas ketika cuba menyelamatkan adik dan anak saudaranya di Pantai Tanjung Rhu, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd. Fadhilah Abdul Halim, 42, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini.
Adik mangsa, Husna, 28, dan anak saudaranya, Nasuha Mohd. Asrul, 19, yang berjaya diselamatkan kini masih menerima rawatan di Wad Kecemasan HSM.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Kubang Bemban, Mukim Tekai Kanan, Naka, dekat sini tiba di pantai berkenaan pada pukul 1.30 tengah hari.
“Pada kira-kira pukul 2 petang, salah seorang ahli keluarga mangsa melihat Husna dan Nasuha sedang tercungap-cungap di dalam air akibat dipukul ombak kuat. Mohd. Fadhilah kemudian bertindak menyelamatkan kedua-dua mereka, namun tidak berjaya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sebuah bot yang berada berhampiran kemudian menuju ke arah mangsa sebelum menarik tangan ketiga-tiga mereka.
“Kesemua mangsa dikejarkan ke HSM, namun Mohd. Fadhilah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya. – UTUSAN










