PETALING JAYA: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.11 malam itu, mangsa berusia 43 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kaki.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi.
Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd. Rohafizam Othman berkata, sebaik tiba, anggota mendapati sebatang pokok tumbang menghempap kereta Honda Accord yang dinaiki mangsa.
“Anggota berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 10.47 malam sebelum diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.24 malam dan lokasi kejadian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










