KLANG: Seorang pemuda dihukum penjara 32 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita selepas enggan menandatangani surat perjanjian yang dipaksa oleh kekasihnya itu pada empat tahun lalu.
Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampau keraguan munasabah terhadap tertuduh, Amirul Amin Amirruddin, 23, di akhir kes pembelaan.
Hukuman tersebut diperintahkan bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Ogos 2022.
Norliza dalam penghakimannya berkata, mangsa Nurul Shahira Abdullah, 24, menerusi laporan bedah siasat didapati meninggal dunia akibat lemas kerana ditekup dengan bantal dan perkara itu disahkan oleh pakar patologi sebagai saksi pendakwaan.
“Ketika pemeriksaan balas, tertuduh mengakui semasa menekup muka si mati, dia melihat si mati bernafas dengan perlahan dan tersekat. Tindakannya menekup itu bagi menghentikan perlakuan agresif si mati.
“Tertuduh juga tahu tindakan itu boleh menyebabkan si mati tidak boleh bernafas kerana seluruh muka ditutup dengan bantal, manusia hanya bernafas melalui hidung,” katanya.
Tambahnya, malah tertuduh menghentikan perbuatan itu selepas mendapati mangsa tidak lagi melawan dan bernafas.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan perbuatan tertuduh itu bermula daripada pergaduhan antara mereka apabila Amirul Amin dikatakan enggan menandatangani surat perjanjian supaya tidak meninggalkan mangsa.
“Tertuduh juga bersetuju cadangan pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas bahawa ada cara lain menenangkan si mati selain menekup menggunakan bantal.
“(Bagaimanapun) Mahkamah mendapati tiada unsur provokasi melampau sehingga menyebabkan tertuduh bertindak menggunakan bantal itu. Tertuduh mempunyai lebih masa memikirkan tindakan lebih rasional dan menenangkan si mati apabila enggan menandatangani surat itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Norliza menegaskan bahawa pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian.
Dalam prosiding tersebut, peguam mewakili Amirul Amin, Mohd. Norazihan Adnan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minimum dengan mempertimbang usia anak guamnya itu yang masih muda.
“Semasa ditahan reman, tertuduh banyak melakukan aktiviti pihak Koreksional sebelum dipindahkan ke penjara Kajang. Malah telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keputusannya boleh dibanggakan,” jelasnya. – UTUSAN










