Langkawi hilang potensi destinasi pelancongan mewah

Langkawi hilang potensi destinasi pelancongan mewah

Hezeri samsuri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penarikan ke­istimewaan bebas cukai bagi pembelian kereta mewah di Langkawi telah menutup pasaran kenderaan premium di pulau peranginan itu sekali gus menjejaskan potensinya sebagai destinasi pelancongan mewah.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, meskipun jumlah kerugian yang didakwa dialami Langkawi masih memerlukan penelitian, kesan paling ketara adalah hilangnya daya tarikan pulau itu kepada pembeli dan pemilik kenderaan mewah.

Katanya, pasaran automotif mewah sepatutnya menjadi antara pemangkin untuk menarik kehadiran golongan berpendapatan tinggi ke Langkawi.

“Apa pun jumlah kerugian yang wujud, memang minimum tetapi pasaran automotif super mewah di Langkawi sepatutnya digunakan sebagai satu daya penarik untuk industri pelanco­ngan bagi golongan ultra mewah.

“Bayangkan jika Langkawi mempunyai prasarana mewah untuk golongan super kaya beriadah, kewujudan pasaran kenderaan ultra mewah memang akan membantu,” katanya kepada Mingguan

Malaysia.
Pada 7 Julai lalu, Malaysia didakwa kerugian sekurang-kurangnya RM400 juta akibat keputusan Kerajaan Persekutuan menarik balik keistimewaan bebas cukai terhadap pembe­lian kenderaan mewah di pulau pelancongan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu didedahkan sendiri oleh pihak industri automotif kepadanya susulan langkah diumum kerajaan dalam Belanjawan 2026 bermula 1 Ja­nuari lalu.

Hezeri berkata, tanpa perancangan menyeluruh untuk membangunkan ekosistem pelancongan mewah, kewujudan kawasan bebas cukai bagi kenderaan premium tidak memberi manfaat optimum.

Mengulas kesan terhadap jualan kereta mewah, Hezeri ber­kata, penarikan insentif ter­sebut menyebabkan pembelian kenderaan di Langkawi tidak lagi mempunyai kelebihan berbanding kawasan lain.

“Tidak ada guna lagi untuk membeli kenderaan di Langkawi. Ini satu kerugian kerana Langkawi sudah mempunyai infrastruktur dan perkhidmatan untuk menyimpan kenderaan mewah.

“Lokasi lain tidak wujud kecuali Labuan, tetapi ia kurang menarik kerana kos menghantar kenderaan ke tanah besar terlalu tinggi,” katanya.

Katanya, pasaran kereta me­wah di Langkawi kini boleh dianggap telah tertutup memandangkan harga pembelian ti­dak lagi menawarkan kelebihan berbanding kawasan lain.

“Pasaran kereta mewah Lang­kawi dikira sudah tutup kerana ia sama seperti membeli kenderaan di kawasan lain. Apa yang tinggal adalah kenderaan di bawah julat RM300,000 yang masih menguntungkan pendu­duk Langkawi,” katanya.

Beliau turut berpandangan dasar berkenaan sepatutnya dimanfaatkan sebagai pemangkin pembangunan pelancongan ultra mewah, bukannya dilihat semata-mata daripada aspek ku­tipan hasil kerajaan.

“Kerajaan perlu mempunyai perancangan yang lebih lengkap. Mewujudkan insentif bebas cukai bagi kenderaan mewah tanpa fasiliti lain adalah merugikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN