Insiden seperti pelajar jatuh daripada bangunan sekolah selain masalah buli yang tidak berkesudahan mula mencetuskan persoalan apakah anak-anak zaman ini mudah tertekan dan membawa kepada masalah kemurungan.
Maka, sudah tiba masanya untuk semua sekolah melaksanakan intervensi segera ke atas pelajar yang dikenal pasti menunjukkan tanda-tanda kesihatan mental bagi memastikan kebajikan dan keselamatan terus terpelihara.
Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen baru-baru ini mendedahkan kadar kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023 bersamaan kira-kira satu juta orang telah terkesan dengan isu kesihatan mental ini.
Lebih membimbangkan apabila masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak serta remaja turut mencatatkan trend peningkatan status kes yang kritikal bagi tempoh masa sama, di mana bagi golongan kanak-kanak meningkat daripada 7.9 peratus kepada 16.5 peratus bagi tempoh sama.
Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun pula, satu daripada empat remaja mengalami kemurungan.
Jelas sekali data ini cukup menakutkan kerana memberikan gambaran tentang tekanan yang sedang dihadapi oleh generasi muda negara kita pada ketika ini, justeru besarlah harapan semua ibu bapa agar garis panduan pengurusan sekolah selamat dan polisi perlindungan murid yang telah ditambah baik dan dilancarkan baru-baru ini wajib dilaksanakan oleh semua pentadbir sekolah tanpa sebarang kompromi.
Dalam konteks ini perhatian khusus perlu diberikan kepada proses intervensi awal melalui saringan kesihatan mental pelajar agar pihak sekolah dapat mengenal pasti pelajar yang menunjukkan tanda-tanda berhadapan tekanan atau kemurungan.
Ironinya kita perlu fokus kepada langkah pencegahan di peringkat yang awal supaya dapat menyelamatkan kesihatan dan keselamatan anak-anak yang cenderung mengambil pelbagai tindakan luar kawalan jika terganggu dengan masalah kesihatan mental yang serius.
Latar belakang dan masalah yang dihadapi oleh setiap pelajar adalah berbeza, maka diharapkan guru bimbingan atau kaunselor sekolah bijak memainkan peranan supaya dapat meneliti setiap situasi yang dilalui oleh pelajar sekali gus boleh membantu mereka dengan segera.
Program berbentuk kesedaran tentang ancaman kesihatan mental mencakupi gejala serta kesan wajar dipergiatkan secara berterusan di sekolah. Pihak sekolah perlu merangka program advokasi yang bersesuaian dengan tahap murid agar mereka mudah memahami isu ini secara menyeluruh.
Program saringan kesihatan mental dan aktiviti pencegahan tidak boleh bersifat bermusim sebaliknya perlu dijadikan agenda tetap di sekolah. Ia perlu dilaksanakan secara teratur dan berjadual supaya kita dapat kenalpasti dan tangani pelajar yang mempunyai tanda-tanda mengalami tekanan.
Selain itu, institusi keluarga khususnya para ibu bapa perlu menjadi sistem sokongan pertama yang menyediakan persekitaran selamat untuk anak-anak berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan emosi.
Hal ini penting kerana dalam kebanyakkan kes yang dilaporkan didapati anak-anak tidak mendapat perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya daripada ibu bapa serta mereka berasakan tiada tempat untuk meluahkan masalah yang sedang dihadapi.
Ibu bapa perlu sedar bahawa peningkatan tekanan akademik, pengaruh media sosial, ketidaktentuan ekonomi, cabaran hubungan sosial dan pelbagai tuntutan kehidupan moden menjadikan anak-anak semakin terdedah kepada masalah kesihatan mental, justeru ibu bapa perlu meningkatkan tahap pemantauan dan perhatian terhadap anak dengan menjadi tempat sandaran utama supaya anak-anak yakin ada tempat selamat untuk berkongsi masalah.
Dalam konteks yang lebih luas, kita perlu menghapuskan persepsi dan stigma masyarakat terhadap isu kesihatan mental. Ini penting kerana masih ramai yang menganggap individu yang mendapatkan bantuan psikologi sebagai lemah atau tidak mampu mengurus kehidupan sendiri.
Pandangan serong seperti ini menyebabkan ramai memilih untuk memendam masalah dan enggan mendapatkan bantuan profesional.
Masyarakat perlu memahami bahawa kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan keseluruhan seseorang individu. Sama seperti penyakit fizikal lain yang memerlukan rawatan, masalah kesihatan mental juga memerlukan perhatian dan intervensi yang sewajarnya.
Lebih awal bantuan diberikan, lebih tinggi peluang untuk individu pulih dan kembali berfungsi secara produktif.
Semoga langkah intervensi awal dari pihak ibu bapa dan sekolah dapat menyelamatkan pelajar yang berisiko dari menjadi mangsa kedaaan.
Tuntasnya, menangani krisis kesihatan mental bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak demi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara mampan dan inklusif untuk generasi hari ini dan masa hadapan.
Noor Mohamad Shakil Hameed Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang Selangor.










