Labur semula keuntungan dalam R&D, pembangunan bakat - Tze Tzin

Labur semula keuntungan dalam R&D, pembangunan bakat – Tze Tzin

SIM Tze Tzin (empat dari kanan) merasmikan The 6th Electronic Manufacturing Expo Asia (EMAX 2026) di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggesa pengeksport pemilik kilang serta pemain industri elektrik dan elektronik (E&E) memanfaatkan prestasi memberangsangkan sektor itu dengan melaburkan semula keuntungan ke dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, dalam hal ini, syarikat tidak seharusnya sekadar menikmati keuntungan semasa, sebaliknya perlu membuat pelaburan semula bagi menghadapi kitaran pertumbuhan baharu yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

“Kita perlu memanfaatkan tahun yang sangat baik ini. Keuntungan yang diperoleh perlu dilaburkan semula ke dalam sektor R&D dan pembangunan bakat supaya industri terus berkembang dan bersedia menghadapi kitaran pertumbuhan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan The 6th Electronic Manufacturing Expo Asia (EMAX 2026) di Bayan Lepas hari ini yang menarik penyertaan kira-kira 20 buah negara dengan 250 reruai pameran dibuka.

Menurut Tze Tzin, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berkecuali membolehkan produk tempatan menembusi pasaran utama dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan negara lain.

Selain itu, katanya, Malaysia memiliki tenaga kerja mahir termasuk jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), jurutera pembuatan dan tenaga teknikal yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini mencatat rekod tertinggi baharu sebanyak RM1.796 trilion, meningkat 22.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan perdagangan negara kekal berdaya tahan walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, sektor E&E menjadi penyumbang utama apabila eksport bagi enam bulan pertama tahun ini melonjak 42.5 peratus kepada RM467.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mewakili hampir separuh daripada keseluruhan eksport negara.

“Oleh itu, jurutera tempatan yang mempunyai idea dan kepakaran disarankan supaya berani menubuhkan syarikat pemula (startup) sendiri bagi memanfaatkan gelombang pembangunan AI kerana gelombang ini dijangka berterusan dalam tempoh 20 tahun akan datang dengan sokongan geran dan bantuan kerajaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN