Labur lebih RM30,000 hasilkan replika bot mini

Labur lebih RM30,000 hasilkan replika bot mini

MOHD. Asrul Gulam Mohd memasang komponen replika bot fiber mini yang dihasilkannya di Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Minat mendalam terhadap pertuka­ngan replika bot mendorong seorang mekanik kereta melaburkan lebih RM30,000 bagi menghasilkan lapan unit replika bot fiber mini sejak dua tahun lalu.

Mohd. Asrul Gulam Mohd., 40, dari Kampung Surau Panjang di sini berkata, minat terhadap bot nelayan berputik sejak kecil apabila sering mengikuti bapanya yang be­kerja sebagai nelayan.

Katanya, pengalaman melihat bot nelayan setiap hari menjadi inspirasi untuk menghasilkan replika yang menyerupai bot sebenar meski­pun tanpa sebarang latihan atau rujukan khusus.

“Tiada sebarang rujukan selain melihat reka bentuk bot yang asal. Daripada situ saya mengolah dan membina replika mengikut imaginasi sendiri supaya kelihatan hampir sama dengan bot sebenar.

“Setiap replika berukuran kira-kira 1.2 meter panjang, seberat 30 kilogram (kg) dan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana memerlukan kesabaran, kete­litian serta kreativiti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, setiap replika turut dilengkapi enjin dan sistem alat kawalan jauh sekali gus membolehkannya ‘dipandu’ di permukaan air seperti bot sebenar.

Katanya, kos pembinaan sebuah replika mencecah lebih RM4,000 bergantung kepada spesifikasi dan aksesori yang digunakan.

“Saya juga memasang lampu hiasan supaya replika bot kelihatan lebih menarik terutama apabila dimainkan pada waktu malam,” katanya.

Menurut Mohd. Asrul, dia bersama rakan-rakan berkumpul di kawasan Masjid Terapung Kuala Terengganu setiap malam ming­gu untuk menguji dan bermain replika bot fiber masing-masing.

Katanya, aktiviti itu sering menarik perhatian pengunjung yang tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video selain bertanyakan me­ngenai proses pembinaannya.

“Alhamdulillah, saya sudah menjual beberapa buah replika dengan harga sekitar RM6,000 seunit. Ramai beranggapan hobi ini mahal tetapi bagi saya ia adalah satu kepuasan kerana dapat menghasilkan sesuatu yang diminati,” katanya.

Ujarnya, hasil perkongsian video dan gambar dalam media sosial, dia bersama enam rakan turut menerima jemputan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN