KWAP menjadi mangsa penipuan eFishery

KWAP menjadi mangsa penipuan eFishery

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menjalankan semakan wajar sebelum melabur RM163.4 juta dalam eFishery, namun dana pencen itu menjadi mangsa penyata kewangan palsu yang mengelirukan beberapa pelabur global lain selama bertahun-tahun.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, KWAP hanya memiliki 2.51 peratus kepentingan dalam eFishery sebagai pemegang saham minoriti, selain turut melabur bersama beberapa pelabur institusi global seperti Temasek, SoftBank, Northstar dan 42X Fund.

Katanya, ketika pelaburan itu dibuat, nilai eFishery dianggarkan sekitar AS$1.4 bilion.

“KWAP tidak melabur bersendirian. Ia hanya memiliki pegangan 2.51 peratus, menjadikannya pelabur minoriti. Sebahagian besar pelaburan datang daripada pelabur lain.

“Dengan kata lain, terdapat pelabur yang jauh lebih besar daripada KWAP, termasuk yang mempunyai pengalaman luas dalam pasaran Indonesia,” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosialnya.

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, siasatan selepas itu mendapati pihak pengurusan eFishery telah memanipulasi penyata kewangan syarikat selama bertahun-tahun sehingga menyebabkan keputusan pelaburan dibuat berdasarkan maklumat yang tidak benar.

“Pengasas eFishery kemudiannya didakwa dan dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun atas kesalahan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram,” katanya.

Mengulas persoalan sama ada KWAP telah menjalankan usaha wajar yang mencukupi sebelum membuat pelaburan, Tengku Zafrul berkata, cadangan pelaburan itu telah dinilai oleh pasukan pelaburan KWAP sebelum diluluskan oleh panel pelaburannya.

“Memang ada usaha wajar. Namun penipuan itu terlalu canggih sehingga pelabur utama seperti Temasek, SoftBank dan lain-lain turut diperdaya,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa kerugian mencecah RM200 juta, sebaliknya menjelaskan angka rasmi yang direkodkan KWAP ialah RM163.4 juta.

Katanya, KWAP sebelum ini telah menjelaskan bahawa pihaknya sedang mengambil semua langkah yang tersedia bagi mendapatkan semula sebanyak mungkin pelaburan tersebut, di samping menjalankan semakan dalaman secara menyeluruh serta memperkukuh proses pelaburannya.

Katanya, antara langkah yang diambil termasuk mempelbagaikan pelaburan dalam pasaran persendirian, meningkatkan penggunaan pengurus dana luar yang berpengalaman serta memperkukuh pemantauan selepas pelaburan dibuat.

Katanya, masih terlalu awal untuk menganggap keseluruhan pelaburan itu telah dihapus kira kerana usaha mendapatkan semula dana masih diteruskan.

Menyentuh kebimbangan terhadap kesan kepada pencen penjawat awam, Tengku Zafrul menjelaskan KWAP beroperasi berbeza daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, kerajaan kekal bertanggungjawab membayar pencen penjawat awam, manakala KWAP menguruskan pembayaran pencen bagi pihak kerajaan serta membantu membiayai sebahagian daripada tanggungan pencen kerajaan.

“Penjawat awam tidak mempunyai akaun simpanan individu dalam KWAP yang akan berkurangan apabila satu pelaburan mengalami kerugian,” katanya.

Beliau turut menegaskan pelaburan dalam eFishery adalah terlalu kecil untuk memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan KWAP.

Jelasnya, KWAP menjana kira-kira RM18 bilion pendapatan pelaburan pada tahun 2024, sekali gus menjadikan nilai pelaburan RM163.4 juta itu kurang daripada satu peratus daripada pulangan pelaburan tahunan dana tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan angka tahun 2025, KWAP menguruskan kira-kira RM195 bilion aset, sekali gus menjadikan pelaburan dalam eFishery mewakili kurang daripada 0.1 peratus daripada keseluruhan aset dana.

“Ini bermakna kes eFishery tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan KWAP atau keupayaannya untuk terus menyokong tanggungan pencen kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan saiz kerugian itu tidak mengurangkan sebarang keperluan untuk memastikan akauntabiliti kerana pelaburan tersebut melibatkan wang awam.

“RM163.4 juta tetap wang rakyat. Setiap sen yang boleh diperoleh semula mesti diusahakan,” katanya.

Katanya, hasil semakan dalaman KWAP telah dibentangkan kepada lembaga pengarahnya dan tindakan susulan perlu diteruskan mengikut proses akauntabiliti yang ditetapkan.

“Jika wujud kecuaian, pihak yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menolak dakwaan yang tular di media sosial kononnya KWAP berada di ambang muflis atau tidak lagi mampu membayar pencen penjawat awam. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN