KWAP ditipu RM200 juta - Utusan Malaysia

KWAP ditipu RM200 juta

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjadi mangsa penipuan kira-kira RM200 juta oleh sebuah syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.

Syarikat yang memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan itu turut menjerat beberapa institusi pelaburan antarabangsa terkemuka termasuk Temasek Holdings (Si­ngapura), SoftBank (Jepun), 42XFund (Emi­riah Arab Bersatu) dan North­star Group (Singapura).

Pada Julai 2023, KWAP dilaporkan melabur sebanyak AS$47.7 juta atau bersamaan kira-kira RM200 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pelaburan eFishery dibuat setelah melalui proses penilaian­ dan tadbir urus berdasarkan mak­lumat tersedia yang me­rangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Beliau berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih bagi pertimbangan pelaburan.

“Pelaburan dalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.

“Pelabur-pelabur ini juga mem­­punyai proses penilaian,­ kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya semalam.

Anwar menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kerajaan menyatakan apakah bentuk pertanggungjawaban dan akauntabiliti yang telah atau akan diambil terha­dap ahli Lembaga Pengarah, panel pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP berhubung kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar membabitkan dana persaraan penjawat awam.

Anwar berkata, langkah tegas daripada segi tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan sudah dilakukan oleh konsor­tium pelaburan termasuk KWAP.

Katanya, KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, ke­lulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan dan hasil se­ma­kan sudah dibentangkan ke­pada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.

“Susulan perbincangan itu, tindakan susulan sudah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabi­liti institusi.

“KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabi­liti. Langkah penambahbaikan sudah dilaksanakan yang bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang,” katanya.

Sebelum ini, eFishery dipromosi sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang dikatakan mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang menerusi penyelesaian digital.

Bagaimanapun, tahun lalu, pengasas bersamanya, Gibran Huzaifah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memaklumkan, setakat ini isu pelaburan KWAP dalam eFishery belum tersenarai dalam pro­si­ding jawatankuasa itu.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan mempertimbangkan keperluan menjalankan prosiding berhubung kerugian dialami negara selepas KWAP dikatakan menjadi mangsa penipuan eFishery.

Beliau berkata, perbincangan akan diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perkara itu tidak ada dalam prosiding PAC. Namun, nanti kita akan bincang sama ada PAC perlu atau tidak masuk dalam perkara ini.

“Buat masa ini, sudah ada prosiding yang sedang menunggu untuk kami selesaikan. Mung­kin perkara itu (pelaburan eFishery) kita bincang dan putuskan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berkenaan kawal selia kadar premium insurans bagi kenderaan e-hailing yang didapati terus meningkat setiap tahun, Anwar berkata, sebarang pelarasan premium oleh syarikat insurans dan pengendali takaful hendaklah disokong oleh data tuntutan sebenar.

Perdana Menteri berkata, ia juga perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan telus serta berhemah.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memantau amalan penetapan harga bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi dan kenaikan harga tidak melampau.

“Syarikat insurans dan pengendali takaful juga dikehendaki memberi pendedahan yang jelas mengenai skop perlindungan, pengecualian dan struktur manfaat yang diterima pemandu.

“Sekiranya terdapat isu yang tidak jelas atau amalan tidak adil, saluran aduan tersedia dan setiap aduan akan dinilai secara objektif di bawah kerangka perlindungan pengguna kewa­ngan,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkenaan penurunan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter, Anwar berkata, pelaksanaannya terus dipantau termasuk keperluan perubahan kuota pada masa depan, keberkesanan mekanisme penyasaran dan kesannya kepada rakyat.

Jelasnya, sebarang penambahbaikan akan dibuat secara berhemah berdasarkan data penggunaan sebenar, keadaan pasaran tenaga dan kedudukan fiskal negara.

“Kurang daripada satu peratus menggunakan lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten. “Secara purata, penggunaan RON95 adalah sekitar 100 liter sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN