KWAP belum mampu biayai pencen negara sepenuhnya

KWAP belum mampu biayai pencen negara sepenuhnya

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuntungan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang mencecah puluhan bilion ringgit ketika ini masih belum mampu menampung kos keperluan pencen negara untuk jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu pembiayaan pencen sememangnya telah dikenal pasti sejak lebih 20 tahun lalu dan kekal menjadi cabaran besar yang memerlukan komitmen politik serta mengambil kira keupayaan kewangan negara.

“Mengikut kajian sejak lebih 20 tahun lalu semasa saya Menteri Kewangan pun kita telah kenal pasti masalah dari segi pembiayaan dana pencen akan menjadi satu masalah besar bagi negara.

“Tetapi dia memerlukan juga satu tekad politik untuk mengubah suai, mempertahankan kepentingan penjawat awam dan pekerja di samping itu melihat keupayaan negara.

“Setakat ini walaupun keuntungannya besar mencecah puluhan bilion, ia tidak mampu menampung kos jangka panjang keperluan pencen,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd. Hasbie Muda berhubung unjuran kerajaan terhadap keupayaan pulangan pelaburan KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen tanpa bergantung kepada dana kerajaan.

Anwar berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melonggarkan lagi pengeluaran dana persaraan kerana langkah sedemikian boleh menjejaskan jaminan kewangan pencarum selepas bersara.

Katanya, kerajaan bagaimanapun membenarkan pengeluaran bagi keperluan tertentu termasuk melalui Akaun Fleksibel tanpa syarat dan Akaun Sejahtera bagi tujuan seperti pendidikan serta menunaikan ibadah haji.

“Ada yang mengatakan dana tidak boleh dikeluarkan. Itu hanyalah kenyataan politik biasa yang tidak benar. Dana boleh dikeluarkan. Sebagai contoh, 10 peratus simpanan dalam Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan tanpa syarat. Itu adalah hak pencarum terhadap simpanan mereka.

“Selain 10 peratus simpanan dalam Akaun Fleksibel yang boleh dikeluarkan tanpa syarat, pencarum juga boleh mengeluarkan 15 peratus simpanan dalam Akaun Sejahtera bagi tujuan tertentu seperti pendidikan dan menunaikan ibadah haji di Mekah. Semua itu telah diberikan kelonggaran.

“Tapi saya tidak bercadang untuk menyokong langkah untuk memudahkan lagi kerana ia akan menjejaskan kepentingan si pencarum itu untuk jangka panjang,” katanya.

Tambah Anwar, kerajaan mengambil pendekatan tersebut kerana majoriti pencarum masih belum mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.

“Pencarum harus tahu bahawa mengikut keadaan sekarang hanya 38 peratus pencarum mencapai simpanan asas mengikut julat umum. Ini membimbangkan. Dia tidak memenuhi hasrat awal kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN