KUALA LUMPUR: Malaysia kekal berdaya tahan meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan perdagangan di Selat Hormuz terus meningkatkan risiko kepada ekonomi global.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, asas ekonomi negara yang kukuh membolehkan momentum pertumbuhan terus dikekalkan walaupun Malaysia turut menerima tempias daripada krisis berkenaan.
Katanya, pertumbuhan ekonomi negara terus dipacu oleh permintaan dalam negeri dan prestasi eksport, manakala perdagangan Malaysia turut mencatatkan peningkatan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 merekodkan kadar 5.4 peratus, disokong oleh permintaan dalam negeri serta daya tahan eksport, terutama bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Selain itu, prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 juga melonjak 18.3 peratus kepada nilai tertinggi dalam sejarah, iaitu sebanyak RM1.5 trilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berhubung penilaian kerajaan terhadap impak gangguan perdagangan di Selat Hormuz ke atas pertumbuhan ekonomi, inflasi, kos pengeluaran industri dan kos sara hidup rakyat, selain pelan kontingensi sekiranya krisis itu berlarutan.
Mohd. Shahar berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan berjaya memastikan inflasi negara serta kos sara hidup rakyat kekal terkawal meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, selain kadar inflasi yang kekal rendah, harga barangan asas terpilih masih stabil manakala stok penimbal beras negara mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik.
“Kadar inflasi negara pada Jun 2026 kekal berada pada tahap yang rendah berbanding negara ASEAN yang lain, pada kadar 1.9 peratus, lebih rendah daripada 2.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Data harga barangan asas terpilih seperti ayam, ikan dan telur sehingga 14 Julai 2026 kekal stabil dan terkawal. Selain itu, kedudukan stok penimbal beras negara juga mencukupi untuk menampung keperluan domestik bagi tempoh enam bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun menumpukan kepada peningkatan harga minyak mentah dunia susulan konflik yang kembali tercetus di Asia Barat sejak 8 Julai lalu.
Katanya, perkembangan itu meningkatkan risiko kenaikan kos input pengeluaran yang boleh memberi tekanan kepada kos operasi industri dan harga barangan sekiranya konflik berlarutan.
“Kerajaan sedang memantau rapi perkembangan ini kerana kenaikan kos tersebut berpotensi memberi tekanan kepada kos operasi industri dan harga barangan sekiranya konflik berlarutan,” katanya.
Menurut Mohd. Shahar, kerajaan telah menggerakkan langkah intervensi strategik dan bersepadu berasaskan empat pendekatan utama iaitu menjamin bekalan, memanjangkan bekalan, mengekang kenaikan harga dan memanfaatkan peluang.
Katanya, pendekatan itu bertujuan melindungi rakyat, menstabilkan bekalan dan harga, menyediakan sokongan kepada firma serta industri, selain mengukuhkan daya tahan ekonomi negara bagi tempoh sederhana dan panjang.
“Intervensi bersasar yang dilaksanakan antaranya termasuk bantuan tunai di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain mengekalkan harga petrol bersubsidi BUDI95 pada RM1.99 seliter serta memperkenalkan harga diesel bersubsidi BUDI Diesel pada RM2.10 seliter.
“Kerajaan juga memastikan keutamaan dan strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dilaksanakan sepenuhnya bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










