Kor Ming boleh ceramah di Negeri Sembilan, tak dihalau macam Sanusi

Kor Ming boleh ceramah di Negeri Sembilan, tak dihalau macam Sanusi

FAHMI Fadzil semasa sidang akhbar PH di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming masih bebas untuk berceramah dan berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Kor Ming bukan seperti pemimpin parti lain yang secara terang-terangan dihalau pulang ke negeri asalnya.

“Tidak, beliau tidak dihalau seperti Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta Muhammad Sanusi memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya di Kedah dan tidak perlu hadir berkempen di Negeri Sembilan sehingga hari pengundian.

Kenyataan itu susulan Muhammad Sanusi ketika berucap pada ceramah di Jempol yang menyatakan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka.

Fahmi dalam pada itu turut mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum menerima aduan berhubung kenyataan Sanusi, baru-baru ini.

Menteri Komunikasi tersebut dalam pada itu berkata, pihaknya kecewa apabila kempen pilihan raya masih dicemari dengan sentimen politik sempit dan perkauman yang menjadi agenda ahli politik.

Jelasnya, politik kebencian berbaur hasutan tidak akan memberi impak terhadap peluang pekerjaan baharu, menurunkan harga barang mahupun menjanjikan rumah mampu milik buat rakyat.

“PH menyeru semua parti politik supaya menghormati undang-undang pilihan raya dan memastikan kempen berlangsung secara matang, berhemah dan berasaskan fakta.

“Bertandinglah dengan dasar, bertandinglah dengan rekod, bertandinglah dengan penyelesaian. Jangan bertanding dengan kebencian. Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni. Jangan rosakkan perpaduan yang telah dibina sekian lama semata-mata kerana kepentingan politik,” katanya.

Berhubung kehadiran pempengaruh, Caprice semasa kempen PRN, Fahmi berkata, beliau bukanlah individu rasmi yang mewakili PH sepanjang kempen berlangsung di negeri ini.

“Bukan, tiada kaitan (PH),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN