MUAR: “Tidak mengapalah, kita move on”.
Demikian respons Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta semua pengumuman projek atau dasar baharu dihentikan selaras Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau berkata, insiden membabitkan dirinya yang dihalang daripada memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berlaku sebelum hari penamaan calon pada 27 Jun lalu.
“Saya ada nampak juga dari segi media tentang itu, saya dilarang masuk Felda bukan pada waktu kempen, waktu saya nak menyerahkan geran tanah untuk peneroka-peneroka. Jadi tidak ada isu pun dari segi nak berkempen, saya dapat surat daripada pengurusan Felda sendiri bahawa program itu terpaksa ditangguhkan di atas sebab-sebab teknikal.
“Tidak mengapalah, saya rasa kita move on dari insiden-insiden tersebut dan kita terus dari segi kempen pula, kita berkempen secara sihat,” ketika ditemui pemberita selepas Program Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Parit Raja Darat, Jalan Temenggong Ahmad, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata, semua pengumuman projek atau dasar baharu tidak lagi dibenarkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.
Anwar menegaskan, larangan itu bagi memastikan proses pilihan raya berjalan adil, telus dan bebas dipengaruhi.
Katanya, penggunaan jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan berkempen juga tidak dibenarkan bagi mengelakkan salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, perjalanan kempen Barisan Nasional (BN) di Muar kini berjalan dengan baik dan lancar.
“Kita lihat dari segi momentum jentera dan juga rakyat di kawasan ini memberikan sokongan yang baik terhadap calon-calon BN, seperti yang awak semua boleh nampak hari ini,” katanya. – UTUSAN










