KUALA LUMPUR: Agenda penyatuan umat hanya mampu direalisasikan sekiranya digerakkan berasaskan keikhlasan, rasa tanggungjawab dan kepentingan agama serta negara, bukannya untuk memenuhi cita-cita politik mana-mana pihak.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, usaha menyatukan parti-parti politik Melayu perlu dibina atas semangat muafakat yang tulen dan tidak dibelenggu kepentingan peribadi kelompok tertentu atau terlalu terikat dengan ideologi kepartian.
Menurut beliau, asas kepada penyatuan itu mestilah berpaksikan kepentingan agama dan negara bangsa dengan mengambil kira realiti masyarakat majmuk yang menjadi tunjang kemakmuran Malaysia.
“Kesepakatan umat hanya boleh dibentuk menerusi rasa tanggungjawab dan semangat keikhlasan antara parti-parti politik Melayu.
“Namun, penyatuan itu tidak seharusnya dikongkong oleh kepentingan individu atau kumpulan tertentu, sebaliknya perlu meletakkan kepentingan agama dan negara mengatasi segala-galanya,” katanya dalam kenyataan.
Syed Ali berkata, rakyat juga perlu berani menolak mana-mana pihak yang menentang gagasan penyatuan umat sekiranya penolakan itu hanya didorong oleh dendam atau percaturan politik sempit.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pihak yang memperalatkan agama dan memainkan sentimen perkauman semata-mata untuk meraih sokongan politik.
Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan perpecahan, malah boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang menjadi kekuatan negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin politik yang benar-benar mengutamakan agenda penyatuan Melayu agar tidak mudah terperangkap dengan helah pihak tertentu yang tidak senang melihat usaha berkenaan menjadi kenyataan.
“Agenda penyatuan umat perlu digerakkan secara lebih jelas, telus dan penuh rasa tanggungjawab demi memajukan kepentingan bersama ke arah masyarakat yang lebih harmoni serta realistik.
“Ia tidak boleh dijadikan alat untuk memuaskan nafsu politik atau memenuhi agenda sempit mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN










