SEPANG: Jabatan Laut kini sedang meneliti mekanisme receivership (penerima dan pengurus) bagi memastikan tunggakan gaji kru kapal MV Berkat Tuah diselesaikan, seandainya syarikat pengendali kapal gagal melunaskan bayaran berkenaan.
Ketua Pengarah Laut, Datuk Dickson Dollah berkata, pelaksanaan mekanisme itu memerlukan pelantikan seorang receivership manager dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ia dapat dilaksanakan.
Katanya, pembayaran hasil kontrak kerja yang sepatutnya diterima syarikat pengendali kapal MV Berkat Tuah, akan disalurkan terlebih dahulu ke dalam satu pihak yang lain bagi menjelaskan tunggakan gaji kru serta hutang lain yang berkaitan.
“Syarikat pengendali dalam masa yang sama mendapat kontrak dari syarikat cari gali yang lain. Justeru sumber kewangan lain masih ada. Dan kita akan pastikan syarikat pengendali kapal. selesaikan baki terbabit terlebih dahulu.
“Jika enggan, maka kita gunakan kaedah receivership. Memandangkan kerajaan terbabit dalam proses ini, segala tindakan perlu melalui saluran yang betul serta mendapat kelulusan AGC.
“Namun tindakan ini langkah terakhir sekiranya masih berdegil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam
Kaedah receivership merupakan satu mekanisme undang-undang yang membolehkan seorang penerima dan pengurus dilantik bagi mengurus aset serta aliran kewangan syarikat untuk melunaskan hutang kepada pemiutang sebelum baki diserahkan kepada syarikat.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan nasib lima kru kapal MV Berkat Tuah yang terus menunggu sinar kepulangan selepas hampir setahun terkandas di perairan UAE dengan gaji yang tertunggak.
Sementara itu menurut Dickson lagi, kes melibatkan kru kapal MV Berkat Tuah disifatkan antara yang paling rumit disebabkan pelbagai faktor antaranya caj pelabuhan dan tunggakan lain termasuk melibatkan ejen kapal.
“Selain itu, pelabuhan milik swasta dan kuasa penuh semestinya pihak yang menguruskan pelabuhan berkenaan, bukannya kerajaan UAE.
“Sebenarnya, banyak lagi perbelanjaan diperlukan sebelum kapal itu boleh beroperasi semula. Kalau ada pihak berminat membeli kapal berkenaan sekalipun, ia perlu dibawa keluar dari Dubai dan perlu melalui Selat Hormuz yang turut mempunyai cabaran keselamatan tersendiri,” jelasnya.
Malah katanya, kapal MV Berkat Tuah dalam masa yang sama tidak boleh sewenang-wenangnya menukar bendera pendaftaran disebabkan tindakan mahkamah pihak kerajaan UAE.
Beliau menjangkakan isu ini akan mengambil masa lebih setahun untuk diselesaikan kerana masih terdapat banyak tuntutan kewangan yang dibuat. – UTUSAN










