PETALING JAYA: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak terus menjadi pemacu utama kepada pembangunan inklusif apabila negeri itu kini berada pada landasan yang semakin kukuh untuk muncul sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi dan inovasi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan yang dikecapi Sarawak hari ini adalah hasil kesepakatan kukuh antara kedua-dua kerajaan dalam melaksanakan pelbagai agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
“Setiap ikhtiar yang digerakkan bukan sahaja bertujuan mengangkat martabat rakyat, malah memperkasa ekonomi serta menjamin kesejahteraan yang berkekalan.
“Transformasi kemajuan yang sedang dilakar ini adalah hasil usaha bersama.
“Dengan semangat Sarawak Maju Segulai Sejalai, kita akan terus melangkah sederap memperkukuh perpaduan, merancakkan pembangunan dan membina masa depan yang lebih makmur demi Sarawak dan Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat negeri tersebut
“Semoga Bumi Kenyalang terus melakar kejayaan, menyemarakkan kemakmuran dan menjadi kebanggaan negara, demi masa depan yang lebih gemilang buat seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia,” katanya.- UTUSAN










