Kerjasama BN-PN: UMNO Terengganu tunggu dan lihat

Kerjasama BN-PN: UMNO Terengganu tunggu dan lihat

ROZI Mamat (kanan) menandatangani plag sebagai gimik Penyerahan Projek Membina dan Menyiapkan Kerja-Kerja Pengukuhan Tebing, Tambatan Rumah Bot, Tandas serta Kemudahan Berkaitan di Pengkalan Utama,di Jeti Tambatan Bot Pengkalan Utama, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu.  - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: UMNO Terengganu memilih pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sama ada mengikut  langkah kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang sedang dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai bentuk kerjasama politik seumpama itu di negeri ini kerana landskap politik setiap negeri adalah berbeza.

“Kerjasama politik tidak menjadi masalah sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat namun pendekatannya mungkin berbeza mengikut negeri dan di peringkat Persekutuan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Membina dan Menyiapkan Kerja-Kerja Pengukuhan Tebing, Tambatan Rumah Bot, Tandas serta Kemudahan Berkaitan di Pengkalan Utama di Jeti Tambatan Bot Pengkalan Utama, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini.

Rozi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, perbezaan bentuk kerjasama politik di peringkat negeri dan Persekutuan bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah dipraktikkan di Sarawak.

Katanya, parti-parti politik termasuk BN perlu bijak menyesuaikan strategi mengikut perubahan landskap politik semasa bagi memastikan parti terus relevan dan kukuh.

“Justeru itu, kita perlu bijak menyesuaikan diri untuk memperkukuh parti masing-masing tanpa terlalu memikirkan pihak lain. Pola politik sekarang sukar dijangka. Keadaan di Terengganu berbeza dengan Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.

Terdahulu,  BN dan PN dilaporkan menjalin kerjasama buat pertama kali bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, UMNO Terengganu enggan terburu-buru mengulas mengenai isu dakwaan penyelewengan dana awam membabitkan syarikat utiliti/kumpulan besar yang kini tular dalam media sosial. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN