KUALA LUMPUR: Kerajaan memfokuskan kepada penjagaan warga emas berasaskan keluarga dan komuniti berbanding penempatan jangka panjang di institusi atau hospital sebagai persediaan menghadapi peningkatan populasi warga emas di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, pendekatan itu diambil kerana penempatan warga emas di institusi atau hospital untuk tempoh yang panjang bukan sahaja membabitkan kos fiskal yang tinggi, malah tidak selari dengan prinsip penuaan setempat.
Katanya, kerajaan kini melihat isu penjagaan warga emas sebagai agenda keselamatan sosial negara yang memerlukan kerjasama pelbagai kementerian serta sektor swasta.
“Dalam hal ini, pendekatan Whole-of-Nation perlu diambil memandangkan isu ini perlu didepani melalui pelbagai sudut yang melibatkan bidang kuasa dan kepakaran merentasi pelbagai kementerian dan pihak swasta.
“Di pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), peranan yang ditumpukan pada masa ini adalah untuk melahirkan penjaga yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan masyarakat,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berhubung perancangan dan persediaan kerajaan membiayai kos penjagaan warga emas yang semakin meningkat khususnya bagi mereka yang memerlukan penjagaan rapi, penjagaan jangka panjang serta rawatan penyakit kronik ketika Malaysia menuju status negara menua.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, kementeriannya telah membangunkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026-2030 sebagai panduan pelaksanaan dasar, program dan inisiatif berkaitan warga emas dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, pelan itu turut memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem Penjagaan Jangka Panjang menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030 yang menyokong penyediaan perkhidmatan penjagaan secara lebih menyeluruh.
“Pelan ini dibangunkan sebagai langkah persediaan Malaysia menghadapi status negara tua, sekali gus memperkukuh kesejahteraan, perlindungan dan penyertaan aktif warga emas dalam masyarakat.
“Selain daripada sasaran untuk melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030, Kerangka Strategik ini juga turut meliputi inisiatif dan penglibatan pihak swasta yang boleh dilaksanakan menerusi usaha Perkongsian Awam-Swasta (PPP).
“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan penawaran perkhidmatan penjagaan harian di rumah dan pusat jagaan swasta yang kompetitif dan mampu diakses,” katanya.
Selain memperkukuh kapasiti perkhidmatan penjagaan, Hui Ying berkata, kerajaan turut mengambil langkah mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat menerusi pelbagai inisiatif merentas kementerian.
Katanya, antara usaha tersebut ialah pelaksanaan pendekatan RESET yang diterajui bersama oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi menangani punca utama inflasi perubatan secara menyeluruh.
“Bagi memperkasakan lagi sistem perlindungan negara, MOF juga memimpin Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) untuk meneliti isu perlindungan berasaskan insurans kesihatan.
“Kerajaan juga terus menawarkan pelbagai pelepasan cukai individu bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam penjagaan warga emas,” katanya. – UTUSAN










