PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju meluluskan pelanjutan tempoh kelulusan pelepasan cukai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) untuk tempoh 10 tahun.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat jemaah menteri hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Daruk Seri Anwar Ibrahim.
“Jemaah Menteri telah meneliti isu pelepasan cukai TAR UMT serta menghargai peranan khas universiti tersebut dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.
“Sehubungan itu, Perdana Menteri telah meluluskan pelanjutan tempoh kelulusan pelepasan cukai TAR UMT untuk tempoh 10 tahun.
“Walau bagaimanapun, TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa, termasuk syarat seperti mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun, selaras dengan keperluan subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Presiden MCA, Wee Ka Siong mendakwa kerajaan telah memungkiri janji apabila tempoh pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman dikurangkan daripada 10 tahun kepada hanya tiga tahun.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menafikan dakwaan itu dan memaklumkan pengecualian cukai bagi Yayasan Pendidikan TARC tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian.
Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri mulai 27 November 2025, kelulusan pengecualian cukai bagi institusi, organisasi atau tabung kebajikan yang layak boleh diberikan bagi tempoh maksimum 10 tahun di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Namun, kelulusan tersebut bukan secara automatik, tetapi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian. – UTUSAN










