Kerajaan Selangor semak keperluan adakan PRK

Kerajaan Selangor semak keperluan adakan PRK

AMIRUDIN Shari ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat di Dataran Melang, Kuala Pilah, malam semalam.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kerajaan Selangor sedang menyemak sama ada terdapat keperluan bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan dakwaan berkaitan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semakan sedang dilakukan bersama penasihat undang-undang (LA) bagi mengesahkan dakwaan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

“Kami ada menerima sedikit maklumat tersebut. Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang.

“Kami kena membuat verifikasi terhadap dakwaan-dakwaan tersebut atau ada dakwaan terhadap keguguran atau kehilangan kelayakan seseorang Ahli Dewan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat di Dataran Melang, di sini, malam semalam.

Menurut Amirudin, sekiranya hasil semakan mendapati terdapat keperluan daripada sudut perundangan untuk mengadakan PRK, kerajaan negeri akan memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang dan apa keperluannya. Kalau ada keperluan untuk kita memaklumkan kepada SPR, kita akan maklum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkemungkinan akan membuat penjelasan mengenai perkara berkenaan pada sidang DUN yang dijadual berlangsung pada 3 Ogos ini.

“Kemungkinan Speaker akan memaklumkan dalam sesi dewan kita pada 3 Ogos nanti kerana kita ada sesi dewan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN