Kerajaan sasar pembinaan 500,000 rumah mampu milik

Kerajaan sasar pembinaan 500,000 rumah mampu milik

NGA Kor Ming
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meletakkan sasaran membina sebanyak 500,000 rumah mampu milik di seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penetapan berkenaan dilaksanakan selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mengatasi sasaran awal 300,000 unit sebelum ini.

Katanya, ini susulan kejayaan memulihkan ribuan projek perumahan sakit dan terbengkalai, sekali gus menyelamatkan semula hak kediaman buat lebih 200,000 pembeli terjejas di seluruh negara.

Kor Ming berkata, cabaran utama sektor perumahan bukan berpunca daripada ketidakseimbangan penawaran dan permintaan semata-mata, sebaliknya masalah ketidakpadanan antara produk yang dibina dengan kehendak pasaran.

“Bagi mengatasi isu berkenaan, KPKT memulakan langkah berasaskan pengurusan analitis data besar bagi memastikan setiap pembangunan kediaman baharu dirancang mengikut kehendak dan penemuan data saintifik.

“Data merupakan khazanah berharga dalam industri ini. Apabila dilaksanakan kelak, sistem ini akan dibuka kepada pemaju pada kadar berpatutan supaya kajian kebolehlaksanaan mereka berasaskan maklumat yang tepat,” katanya pada Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) di sini hari ini.

Kor Ming berkata, kerajaan turut memperkasa akses pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM14 bilion yang setakat ini berjaya membantu lebih 95,000 pembeli rumah pertama.

Katanya, pemerkasaan sektor perumahan dipacu menerusi penandaarasan garis panduan bangunan hijau bertaraf global melalui pengenalan Piawaian Indeks Bangunan Hijau untuk memastikan projek perumahan mampu milik kekal mampan.

“KPKT turut menjalinkan kerjasama dengan China bagi mempelajari konsep rumah pintar dan bandar pintar termasuk merancang melancarkan projek PR1MA terbaharu yang dilengkapi sistem kunci pintar berasaskan kata laluan demi keselamatan pemilik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×